Saturday, 3 November 2012

Pedoman lengkap untuk kaya buat mereka yang malu

Banyak kali kita dengar orang berkata bahawa dia bukan cari kekayaan. Kalau dia berniagapun bukannya untuk jadi kaya. Dia cukup dengan apa yang dia miliki sekarang dan berbagai lagi ayat lain yang satu nada dengannya.

Hakikatnya orang yang berkata begitu memang tak pernah kaya dan mereka hidup sederhana. nak kata susahpun tidak nak kata senangpun tidak. Kadangkala mereka susah tapi bukan sampai peringkat miskin. Kadangkala mereka senang, tapi bukan sampai peringkat kaya raya.


Sebab apa mereka kata begitu?

  • Sebab mereka tak mahu desak diri sendiri dan malas untuk kerja keras menjadi kaya raya. Maka mereka kekal sebagaimana keadaan biasa.
  • Mereka tidak boleh menjadi kaya sebab tak nampak jalan lalu memujuk diri mereka bahawa kekayaan bukan apa yang mereka cari. Kekalkan saja apa yang mereka ada.
Hakikatnya kebanyakan dari kita memang mahu dan teringin jadi kaya. Terlalu sedikit sangat yang benar-benar tidak mahu jadi kaya. Lagipun tidak ada sesiapapun yang boleh buktikan dia memang tidak suka kaya selagi dia masih belum menjadi kaya.
Seandainya seseorang itu dikurniakan harta berjuta-juta melalui pewarisan atau dihadiahkan oleh seseorang, lalu dengan yakinnya setelah diterima kesemua itu dia menghadiahkan pula pada orang lain atau pada sesiapa saja yang lebih memerlukannya, maka baru terbukti dia memang tak hingin kekayaan!
Maka saya andaikan ramai di antara kita yang sebenarnya teringin nak jadi kaya cuma terhalang di sebabkan berbagai sebab. Antaranya adalah:
  • Malu pada diri sendiri dan juga pada orang lain kalau mengaku nak jadi kaya. Ini di sebabkan kesemua kawan-kawan memang jenis tak berada maka kita seolah-olah menyatakan taat setia untuk kekal dalam kumpulan yang sama bila berkata "aku tak mahu jadi kaya".
  • Sebab di atas juga membuatkan kebanyakan daripada kita tidak sanggup kehilangan sahabat-sahabat sealiran samada secara sedar atau tidak sedar. Maka untuk itu mereka bunuh saja impian untuk jadi kaya tersebut dan tidak sanggup menukar gaya hidup.
  • Tak tahu jalan yang betul untuk bertukar menjadi kaya. Kebanyakan orang sangkakan untuk menjadi kaya kita kena kerja teruk melebihi orang lain dan terpaksa menyiksa diri buat kerja yang kita tak suka.
  • Kemungkinan juga terpaksa mengambil hak orang lain atau menipu dan berlaku jahat untuk jadi kaya. Itu semua menjauhkan lagi usaha untuk mencari jalan bagaimana mahu jadi kaya. Tak baik belajar menjadi jahat, begitulah sangkaan mereka.
  • Tak tahu sebab apa perlu jadi kaya. Alasan yang ada tidak berapa kukuh untuk membuatkan mereka berazam nekad mahu berusaha jadi kaya.
  • Jika ada sebabpun, mungkin alasan yang sering bermain di kepala hanyalah sekadar untuk menunjuk-nunjuk kekayaannya dengan mempamerkan kereta mewah, rumah banglow isteri muda dan sebagainya. Oleh itu keinginan jadi kaya menjadi sesuatu yang perlu dielakkan.
Bagaimana kita boleh mula menyediakan diri untuk jadi kaya?
Jika anda mahu mengaku berterus terang bahawa memang ada disudut hati keinginan mahu jadi kaya, maka saya petuakan beberapa langkah di bawah untuk membuatkan anda bertukar keadaan menjadi kaya.
  • Mengaku sajalah! memang anda teringin nak kaya. Jangan rasa segan atau malu untuk menyatakan pada orang lain sebab tidak ada sedikitpun kesalahan berazam mahu jadi kaya. Belum ada lagi orang yang menjadi hina apabila mengaku mahu kaya dengan cara yang halal. Sebaliknya mereka memang benar-benar menjadi kaya akhirnya dan dihormati orang lain.
  • Ubah takrifan kaya menjadi lebih mudah. Saya dah tulis makna kaya dalam hidup ringkas yang praktikal dan terlalu senang untuk mencapainya. Anda boleh baca di sini. Ini perlu agar minda anda mula melonggarkan makna kaya dan seterusnya membuatkan segalanya menjadi mudah.
  • Ikuti nasihat pakar bagaimana teknik mahu jadi kaya. Anda boleh temui dengan membaca buku-buku yang terlalu banyak dipasaran. Tak perlu baca kesemua buku atau banyak buku sebab semuanya hampir sama sahaja. Saya syorkan anda baca buku "The richest man in Babylon" dan tak perlu baca buku lain lagi.
  • Mulakan dengan berfikir bagaimana anda boleh selesaikan hutang yang ada. Jadikan diri anda bebas hutang. Langsaikan semua hutang kecuali yang tidak dapat dielakkan seperti hutang rumah dan seumpamanya.
  • Dalam masa yang sama anda jelaskan hutang, jangan lupa simpan sebahagian dari pendapatan. Ini untuk mendisiplinkan sikap menyimpan agar menjadi tabiat atau ketagihan yang tidak dapat ditinggalkan selam-lamanya.
  • Tanam azam bahawa anda tidak akan berhutang lagi yang boleh menyusahkan diri anda dan membuatkan anda tidak boleh jadi kaya. Terutamanya hutang kad kredit, hutang bank rakyat atau hutang pada kawan-kawan atau saudara mara.
  • Sentiasa fikirkan apa yang anda nak buat dengan duit yang banyak. Apakah anda perlukan RM2 juta?, RM5 juta? atau lebih dari itu. Rancang dengan terperinci bagaimana anda akan urus dan belanjakannya. Tak payah rancang dengan teliti bagaimana anda akan dapatkan duit tersebut, itu semua akan datang sendiri.
  • Jadi usahawan. Jika makan gaji anda masih boleh jadi kaya, tapi ada hadnya. Jika anda mahu meletakkan sasaran yang cukup tinggi seperti menjadi multi millionair atau billionaire, anda tidak ada pilihan lain selain dari terjun berniaga.
  • Mengorat dan kahwin dengan anak orang kaya. Jika anda belum berumah tangga, jangan lepaskan peluang untuk kaya cepat dengan mencari pasangan anak orang kaya. Korbankan rasa cinta pada orang yang anda suka sedangkan dia hanya menyusahkan diri anda. Lebih-lebih lagi jika pasangan itu jenis yang suka membazir dan tidak ada keupayaan menjana pendapatan.
  • Jangan melibatkan diri dengan pelaburan cepat kaya seperti saham pakman telo dan seumpamanya. Sebarang pelaburan yang modal sikit dan pulangan gila-gila besar adalah palsu dan tidak pernah ada melainkan ada sesuatu yang tak kena. Tambahan lagi ada pulak orang yang tawarkan pada anda untuk pelaburan sebegitu. Jika benar ada, sudah tentu dia tak akan kongsikan dengan orang lain!.
  • Jangan tergesa-gesa untuk jadi kaya. Berikan masa yang mencukupi untuk jadi kaya agar anda dapat menghayati disiplin serta ilmu yang perlu bagi menguruskan buit yang banyak. Lima atau tujuh tahun sebenarnya adalah satu tempoh yang singkat. Itu tempoh masa yang anda perlu mabil untuk membuat perubahan ketara.
  • Latih pertingkatkan sikap bertanggung jawab. Anda tidak akan berjaya mencapai apa-apa selagi tidak ada sikap atau disiplin yang tinggi untuk memberikan komitmen penuh terhadap apa saja yang anda lakukan. Latih tabiat bertanggung jawab dengan menerima apa-apa jawatan samada sukarela atau berbayar. pastikan ia sesuatu yang anda suka dan mulakan dengan tugasan yang paling mudah dan pertingkatkan dari masa ke masa. Sebagai contoh ambil tugasan jadi ajk masjid atau surau.
  • Cari sekurang-kurangnya 5 rakan yang punyai impian yang sama menjadi kaya. Jadikan mereka teman akrab. Buat perjumpaan tidak formal seminggu sekali untuk berkumpul dan bertukar-tukar fikiran.
  • Cari mentor. Kenal pasti rakan atau kenalan atau sesiapa saja yang boleh dilantik sebagai mentor. Pastikan dia seorang yang berjaya dan tidak lokek memberikan nasihat. Jangan hanya menerima, sebaliknya cuba memberikan khidmat yang bernilai pada mentor anda agar perhubungan lebih positif dan "win/win situation".
  • Cari 'mentee'. Cari sesiapa saja yang lebih rendah pencapaiannya dari anda untuk dilatih dan dibantu meningkatkan kedudukannya. Mentee penting agar anda dapat berkongsi pengalaman dan pencapaian dengan orang lain. Jika dia berjaya dan kelihatan meningkat menjadi sama macam anda, maknanya anda leka dan sudah mula berehat meningkatkan keupayaan. Jadikan ini sebagai indikator untuk anda pulun meninggalkannya lebih jauh.
Jika kesemua yang saya petuakan di atas anda lakukan secara konsisten. Anda hanya memerlukan masa selama 7 tahun untuk mencapai apa saja yang anda sasarkan. Sebelum saya sudahi tulisan ini, saya berikan tips untuk meletakkan sasaran agar anda tidak menyesal nanti:
  • Fikirkan apa sasaran anda yang bersesuaian dengan lengkap seperti berapa pendapatan, berapa simpanan, rumah besar mana, tanah luas mana dan lain-lain lagi.
  • Setelah lengkap semua impian tersebut. Gandakan impian anda itu sekurang-kurangnya 2 kali lebih besar. Jika anda tidak lakukan ini anda pasti akan menyesal kemudian hari.
Ingat! gandakan impian yang anda mahu capai menjadi sekurang-kurangnya 2 kali ganda lebih besar. Ini cukup penting dan saya akan ceritakan kenapa pada tulisan yang akan datang.

Baru 26 tahun dah jadi jadi billionaire - Billionaire muda Thailand

Bagi mereka yang bercita-cita tinggi untuk jadi kaya raya boleh cari maklumat tentang pemuda ini yang sekarang berumur 26 tahun dan memiliki perniagaan rumpai laut paling laris di Thailand.

Aitthipat Kulapongvanish, merupakan warga muda Thailand yang pasaran rumpai lautnya menguasai 85% daripada keseluruhan parasan Thailand. Ia bersamaan dengan 800 juta bath setahun. Dia mempunyai seramai 2 ribu orang yang bekerja di bawah syarikatnya.


Berikut sedikit maklumat zaman mudanya:


  • Pada umur 16 tahun, Aitthipat menjana 400,000 bath sebulan hasil daripada permainan video online
  • Ketika berumur 17 tahun dia sanggup melupakan persekolahannya. Sebaliknya dia menjual buah berangan untuk mencari duit. Perniagaan buah barangannya menjadi terkenal di Thailand.
  • Keluarganya muflis dan berhutang sebanyak 40 juta bath ketika dia berumur 18 tahun
  • Ketika berumur 19 tahun dia mula memperkenalkan 'Tao Kae Noi", sejenis makanan rumpai laut yang diedarkannya di 3 ribu cawangan 7-eleven di Thailand.
  • Kini makanan tersebut berada telah turut di ekspot ke Jepun, Taiwan, Singapura dan juga Amerika
Baca ceritanya di sini.
Apa yang perlu kita ingat adalah kita sesekali tidak mungkin boleh menjadi orang lain. Setiap manusia di dunia ini mempunyai sejarah perjalanannya yang tersendiri dan unik. Kita hanya boleh sekadar melihat jalan orang lain yang berjaya dan pinjamkan sebanyak mana idea yang boleh untuk disesuaikan dengan apa yang kita ada.
Himpunan idea-idea yang kita belajar dari perjalanan orang lain lalu disesuaikan untuk kegunaan diri kita mengikut kesesuaian akhirnya akan membuahkan hasil yang unik cara kita sendiri. Yang penting adalah anda perlu sentiasa menjadi diri anda sendiri. Ciptalah sejarah kejayaan kita yang tersendiri tanpa perlu menjadi orang lain.

10 perkara penting yang usahawan perlu tahu

Menceburkan diri dalam perniagaan memang susah. Untuk buat keputusan nekad berhenti kerja dan berniaga saja sudah banyak menyusahkan diri dan orang sekeliling kita.

Bila dah jadi usahawan anda tak ada pilihan lain selain daripada memastikan anda berjaya dan tidak lagi menyusahkan diri sendiri dan juga orang lain. Berikut beberapa perkara yang anda perlu tahu bila berniaga.


  1. Jangan harap pertolongan orang selain diri anda sendiri. Ramai yang putus asa dan letakkan kegagalan pada orang lain yang tak mahu memberikan pertolongan. Jika anda rasa orang perlu tolong anda untuk berjaya, anda hanya membuang masa. Ingat! bila anda gagal, anda keseorangan menghadapinya, bila anda berjaya semua orang mahu tumpang/ambil bahagiannya.
  2. Setiap yang menolong mahukan sesuatu. Tak ada dalam dunia sekarang ini yang membantu secara percuma. Mereka harapkan balasan tidak kira samada dalam bentuk wang atau lain-lain ganjaran. Oleh itu sentiasa pastikan orang yang membantu anda tahu apa yang dia mahu dan berikan padanya. Jika anda tidak mampu, lupakan saja pertolongan darinya dan jangan minta bantuan percuma.
  3. Segalanya bermula dengan kesukaran. Tidak ada benda mudah bila anda baru memulakannya. Ia hanya menjadi mudah apabila anda tidak jemu mengulang dan mencuba bertubi-tubi tanpa jemu. Oleh itu jika anda menghadapi kesukaran, terima dengan hati yang terbuka dan teruskan juga sehingga ianya menjadi senang.
  4. Tawarkan apa yang orang mahu, bukan apa yang anda mahu. Perniagaan adalah perkhidmatan menyelesaikan masalah atau kehendak orang. Anda mesti bersedia untuk memenuhi kehendak orang lain, bukan kehendak anda. Jangan paksa orang menerima sesuatu yang anda mahu sedangkan mereka tak ingin.
  5. Anda hanya perlu berusaha, yang menentukan kejayaan adalah Allah. Perniagaan tidak boleh dijadikan paksaan. jangan paksa orang beli, hanya nyatakan apa yang anda tawarkan. Samada dia akan beli atau tidak bukan urusan anda. Jangan mendesak sehingga kawan atau sesiapa saja melarikan diri apabila terlihat kelibat anda
  6. Buang sikap yang anda serba tahu. Masalah usahawan yang ego adalah merasakan dia serba tahu lalu tidak menerima cadangan orang lain. Sentiasa buka minda pada sebarang cadangan. Mungkin anda tidak tahu apa yang anda tidak tahu yang sepatutnya anda tahu.
  7. Jangan bersikap terlalu sempurna. Orang yang berniaga tidak pernah berada dalam keadaan cukup segala-galanya. Jika anda menunggu segalanya sempurna untuk berbuat sesuatu, anda langsung tidak akan memulakannya. Berikan kesempatan pada semua untuk belajar dari kesilapan termasuklah diri anda.
  8. Berikan tumpuan pada perkara kecil yang sering dilakukan dan perbaiki menjadi lebih sempurna. Ramai usahawan yang silap apabila memberikan tumpuan hanya pada perkara-perkara besar yang berlaku sekali-sekala dalam kehidupan. Anda adalah apa yang anda sering ulangi melakukannya, dan dari situlah kejayaan datang. Mengharapkan perkara jarang berlaku adalah seumpama bermain nombor ekor. Lebih baik simpan RM5 seminggu dan jadikan ianya tabiat daripada tikam ekor semingga RM5 ringgit untuk menjadi kaya.
  9. Hampir kesemua perkara hebat tidak datang dengan mudah. Kejayaan, peluang, pekerja yang baik, rakan niaga yang bagus, pelanggan yang setia dan apa-apa saja yang hebat-hebat adalah perkara yang sukar ditemui. Hanya mereka yang bersabar dan terus mencari akan temuinya, oleh itu jangkakan kesukaran tersebut.
  10. Makhluk datang membantu hanya bila anda senang. Bank menawarkan pinjaman bila anda ada wang. Kawan-kawan tidak lokek membantu bila anda berjaya. Bila anda dalam kesukaran semuanya menghilang. Ingat semakin sukar yang anda hadapi semakin makluk menjauhkan diri sedangkan semakin sukar diri anda semakin hampir datangnya pertolongan Allah. Jadi sentiasa pohon padaNya.
Renungkan kesemua yang saya sebutkan di atas dan sediakn diri anda untuk berjaya. Insyallah.

Bagaimana meletupkan semangat niaga anda

Majoriti daripada mereka yang makan gaji ada terselit jauh disudut hati ingin menjadi usahawan. Jarang saya jumpa orang yang langsung tak ingin berniaga. Sepanjang berkawan dengan berbagai golongan yang makan gaji, cuma ada seorang kawan yang berkata dia lebih suka jadi kuli sampai bila-bila. Itupun saya sangsi dengan pengakuannya.

Apa yang membezakan mereka yang ada keinginan berniaga dengan mereka yang benar-benar terjun berniaga adalah berapa besar saiz keinginan tersebut. Saiz keinginan membesar bukan datang secara tiba-tiba.

Para usahawan yang terjun berniaga kebetulan menjalani kehidupan yang membawa mereka ke arah itu secara tidak mereka sedari. Dan berita baik pada anda yang ingin berniaga, anda juga boleh membesarkan saiz keinginan tersebut dengan mengikuti beberapa langkah di bawah:



  1. Jangan padam keinginan yang ada. Sebaliknya pupuk keinginan tersebut dengan terus memikirkannya sekerap mungkin bila ada masa terluang. Bayangkan kelebihan yang anda dapat dengan menjadi usahawan. Berikut antara beberapa perkara asas yang mampu anda miliki jika menjadi usahawan berjaya:
    1. Harta kekayaan. Berbeza dengan makan gaji, usahawan mampu impikan jumlah kekayaan yang tidak ada limit. Seperti kata orang tua-tua, setinggi langit!
    2. Masa. Dengan pemikiran dan cara yang betul, anda mampu membebaskan diri anda untuk menumpukan pada perkara yang anda suka tanpa mengganggu perniagaan anda sendiri.
    3. Peluang untuk menyumbang dan berbakti pada masyarakat. Apa lagi yang manusia inginkan selain dari dapat membantu orang lain. Lihat saja mereka yang menjadi kaya raya, akhirnya tetap berpaling ke arah kebajikan samada mereka sedar atau tidak sedar. Anda mampu lakukan ini jika anda ada harta dan masa untuk lakukannya.
  2. Baca buku yang berkaitan dengan perniagaan. Terdapat banyak buku samada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris yang menceritakan tentang perniagaan. Banyak juga yang menceritakan tentang kejayaan usahawan-usahawan tertentu. Kalau tak ada modal, baca saja melalui internet.
  3. Tambah jumlah kawan-kawan yang berniaga. Mungkin anda ada beberapa kawan yang berniaga tetapi anda tidak luangkan masa dengan cukup bersama mereka. Mula rapatkan perhubungan dengan golongan usahawan.
  4. Lebihkan masa bersama kumpulan peniaga. Daripada beberapa kawan kenalan anda yang berniaga, anda akan diperkenalkan lagi dengan lebih ramai golongan usahawan. Sertai aktiviti perbincangan mereka samada secara formal atau tidak formal.
  5. Bantu perniagaan mereka bila ada kesempatan. Pilih beberapa usahawan yang rapat dan tawarkan kemahiran yang anda ada yang boleh membantu mereka. Aktiviti ini menambhkan pengalaman anda untuk menyediakan diri dalam dunia keusahawanan dan anda akan dapati anda ada keyakinan dan cara sendiri untuk berjaya.
  6. Ulang kesemua yang disebutkan diatas. Jadikan kesemua di atas sebagai amalan kehidupan anda. Kesemua aktiviti tersebut membuatkan pemikiran anda mula berubah dengan sendirinya sehinggalah anda benar-benar menjadi seorang usahawan.
Percayalah bahawa jika kesemua yang saya sebutkan di atas anda jadikan amalan kehidupan, satu hari nanti anda pasti jadi seorang usahawan. Dan ianya berlaku tanpa anda sedari kerana apa yang telah anda lakukan itu meletakkan diri anda dalam lingkungan yang memudahkan diri anda untuk berjaya menjadi seorang usahawan.

Bolehkah berniaga tanpa modal?

Ini soalan cepu emas yang sering ditanya oleh mereka yang amat teringin jadi businessman dan dalam masa yang sama tak ada duit untuk memulakan perniagaan.

Kalau nak tahu jawapnnya adalah: 'YA'

Buktinya, saya sendiri telah lakukannya. Saya mula berniaga dalam keadaan:


  • Tidak ada langsung duit simpanan dalam akaun bank. Hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Keadaan ini membuatkan saya tak ada wang sendiri untuk dijadikan modal.
  • Tidak ada rumah sendiri. Asyik sewa rumah orang saja dan tolong bayar installment tuan punya rumah. Ini juga membuatkan saya tak boleh gunakan rumah sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman.
  • Tak ada harta pusaka yang diwariskan. Tanah yang ada dikampung hanya sekangkang kera kepunya arwah bapak dan rumah didiami oleh ibunda tercinta. Kalau nak berebut sesama saudara lelaki dan perempuan, masing-masing akan hanya dapat membina jamban sebanyak 2 pintu seorang. Kalau nak dicagarkan tanah pada bank untuk dapatkan duit, kenalah lalokkan seluruh adik beradik dahulu untuk persetujuan mereka
  • Tak ada saudara mara yang kaya. Abang-abang dan adik yang ada cukup sekadar menyara kehidupan keluarga masing-masing. Jauh lagi untuk mengadakan simpanan. Apalagi untuk meyimpan dan diberikan pada saya untuk berniaga...mimpi di siang harilah jawabnya.
  • Kad kredit yang ada boleh digunakan maksimum sebanyak 5 ribu saja. Tak cukup untuk sara kehidupan dan juga sebagai modal untuk membina perniagaan. Mana nak cukup!
  • Tidak bekerja dengan kerajaan. Ini membuatkan saya tidak layak buat pinjaman peribadi pada bank rakyat. Isteri juga tak kerja. Siapa nak kasi pinjam?
  • Tidak ada kenalan dari kalangan 'Along'. Ini membuatkan hilang keberanian memimjam wang pada mereka untuk memulakan perniagaan.
  • Tak pernah ikuti kursus MARA. Langsung tak ada peluang untuk buat pinjaman perniagaan. 
Cukuplah semua yang saya senaraikan di atas untuk menyatakan bahawa kriteria punyai modal tidak dimiliki oleh saya ketika terjun secara kamekaze menjadi "Pendekar Usahawan" bagi menjalankan perniagaan "Pest Control".
Namun dengan keadaan itulah saya buat terjunan maut dan menjalankan perniagaan sehingga menjana pendapat jutaan ringgit dalam tempoh kurang dari lima tahun. Dalam tempoh itu juga saya buka lagi satu perniagaan juga dalam keadaan tidak ada modal. Perniagaan itu juga kini menjana jutaan ringgit sehingga sekarang.
Tentu ramai yang nak tahu macam mana saya buat, macam mana saya cari duit dan apa yang ada pada saya yang membuatkan saya perolehi semua itu? Kalau semua nak tahu apa yang saya ada, anda juga memilikinya. Malah mungkin anda lebih hebat daripada saya cuma tidak pernah diguna pakai lagi selama ini.
Apa yang saya pakai? cuma tiga perkara penting:
  1. Kawan
  2. Kejujuran
  3. Keazaman
  4. Keyakinan
Itu saja peralatan berniaga saya. Anda juga ada semua itu. Jadi kenapa saya boleh buat sedangkan anda tak boleh buat? Barangkali anda cuma tak tahu macam mana nak pakai dan bila nak pakai, kalau anda nak ilmu itu berkawanlah dengan saya....insyallah akan saya perturunkan.