Friday, 26 April 2013

stategi pasaran promosi guna risalah

Perkongsian kali ini akan merungkai sedikit persoalan sejauh mana kaedah mengedar risalah membantu kita mengembangkan perniagaan. Walaupun pengalaman lepas saya hanyalah dalam bidang pembiayaan peribadi, tetapi ia boleh diguna pakai dalam perniagaan lain.
Mungkin cabaran terbesar menggunakan teknik ini ialah perasaan segan untuk berinteraksi dengan pelanggan kerana sesetengah pelanggan tidak mahu diberi penekanan secara berlebihan sebagaimana diri kita sendiri apabila berhadapan dengan promoter yang cuba mendekati kita. Tetapi ada juga pelanggan yang selesa menerima risalah dan menyimpan untuk dibaca kemudian. Masalah segan ini patut diatasi kerana dalam perniagaan yang halal niat kita yang paling utama ialah memberikan perkhidmatan kepada pelanggan, berniaga dengan tujuan mencari rezeki halal adalah berbeza dengan meminta sedekah. Maka ubah persepsi kita tentang perniagaan  dan jangan rasa malu bermula dari bawah.
RISALAH MENJADI RUJUKAN PADA BILA-BILA MASA.
Pelanggan yang cuba untuk mengingat keperluan semasa akan mempunyai rujukan dalam mencari perkhidmatan atau produk yang berkaitan maka usahakan supaya risalah lebih cantik dan tahan lama untuk disimpan. Mungkin risalah dalam bentuk Kalendar kerana pelanggan ada sebab untuk menyimpan risalah perkhidmatan.
RISALAH MENJIMATKAN KOS PENGIKLANAN, PROMOSI BERLAKU SECARA  PASIF.
Berapa juta kita sanggup bayar untuk mengiklankan produk di saluran televisyen? Risalah dapat menjimatkan kos kerana promosi juga berlaku secara pasif apabila pelanggan menyimpan risalah . Pada waktu malam kita berehat tetapi risalah itu sendiri mempromosikan perkhidmatan kita apabila pelanggan membaca risalah yang disimpan. Maka ia dikatakan promosi secara pasif.
MUDAH DISAMPAIKAN DAN MEMBERI KESELESAAN  PELANGGAN TANPA KITA PERLU MEMUJUK.
Walaupun faktor nasib terlibat tetapi dengan mengedar lebih banyak risalah menjadikan nasib kita lebih baik. Dalam subjek matematik SPM ada bab yang mengajar tentang kebarangkalian, inilah salah satu kaitan matematik  dalam kehidupan seharian. Bercakap tentang keselesaan pelanggan ada pelanggan yang tidak selesa untuk berbual dengan promoter kerana faktor sibuk, ataupun kerana tidak mahu rasa dipaksa membeli sesuatu. Maka risalah ini satu jalan mudah kepada pelanggan walaupun ada yang tidak mahu ambil risalah tersebut  ia perkara biasa dan akan kita bincang kemudian.
RISALAH MENINGKATKAN BRAND.
Penting untuk kita menghebahkan kewujuan bisnes selain mempromosikan jenama perniagaan . Apabila kerap pelanggan menerima risalah maka secara tidak langsung jenama perniagaan akan melekat dan terkesan di hati pelanggan. Usaha promosi perlu berterusan kerana ia adalah kunci kepada kejayaan perniagaan.
RISALAH MENJIMATKAN RUANG.
Kelebihan promosi melalui risalah akan membantu menjimatkan ruang premis. Kadang-kadang suatu premis perniagaan tidak cukup ruang untuk meletakkan lebih banyak produk kerana saiz premis yang kecil. Atau produk berada di stor atau rumah, dengan menggunakan risalah, perkhidmatan atau produk boleh dijual walaupun tidak kelihatan di mata pelanggan.
RISALAH MENJIMATKAN MASA KITA DAN MASA PELANGGAN.
Melalui risalah kita boleh memilih siapa pelanggan kita, jika pelanggan kita kakitangan kerajaan kita boleh letakkan di kawasan yang berkaitan seperti bangunan kerajaan. Ini akan menjimatkan masa kita kerana skop boleh dikecilkan ikut sasaran dan tanpa perlu banyak cakap. Pelanggan pun boleh merancang perbelanjaan selain membantu pelanggan membuat pilihan dengan lebih pantas. Kerap terjadi kita mencari perkhidmatan atau produk tetapi lupa di manakah tempat yang ingin dituju, risalah yang diterima prospek akan membantu mereka mengingat. Pastikan maklumat dalam risalah lengkap berkaitan perniagaan terutama sekali alamat dan nombor telefon.
FORMULA KEJAYAAN
Ada cerita berkenaan jurujual jutawan di Amerika, apabila ditanya tentang rahsia kejayaan beliau memberikan formula iaitu
SWSWSW=NEXT atau  Some Will, Some Won’t, So What, = Next.
Apabila kita telah mempromosikan sesuatu perkhidmatan atau produk sudah pasti ada yang tidak mahu, tetapi dalam masa yang sama pasti akan ada yang mahu seperti dalam bahasa sekarang “apa ku kisah” promosi perlu diteruskan kepada prospek lain. Penerimaan dan penolakkan adalah proses biasa yang akan sentiasa berulang. Sehingga anda telah lali, hilang perasaan kecewa tanpa putus asa maka kejayaan bukanlah suatu yang mustahil kerana hanya masa yang akan menjadi penentu.
Semasa terlibat dalam bidang pembiayaan peribadi saya pernah menggunakan teknik promosi menggunakan risalah dan Alhamdulillah teknik ini mampu menjana pendapatan 5 angka walaupun tidak konsisten tetapi sekurang-kurangnya pengalaman lepas memberikan saya gambaran yang jelas betapa teknik ini berpotensi meningkatkan pendapatan.
Sehingga ketika ini pun saya masih menggunakan risalah untuk mempromosikan pusat tuisyen yang saya jalankan, walaupun belum memberikan pulangan besar kerana kesibukkan dalam menyediakan bahan dan mendidik berbanding mempromosi, tetapi saya yakin apabila ada peluang untuk kembali beraksi dalam mempromosikan perniagaan pusat tuisyen menggunakan risalah, teknik ini pasti mampu menghasilkan sesuatu. Walau bagaimanapun sebagai persediaan menerima lebih banyak pelanggan, perkhidmatan mesti dimantapkan atau diperbaiki dari segi mutu, risalah hanya khabar tetapi perkhidmatan atau produk anda adalah rupa sebenar, jangan sampai terjadi “INDAH KHABAR DARI RUPA”. Sebagaimana dalam dunia blog “CONTENT IS KING”. Biarlah usaha promosi kita setanding dengan perkhidmatan yang kita sediakan. Sekian.


Sunday, 30 December 2012

Gasoline Salt Water


Anda mungkin pernah terdengar tentang jurutera bernama John Kanzius, yang berjaya membangunkan bahan api alternatif dari garam. 

Kanzius menemui kaedah ini secara tidak sengaja – air garam boleh menjana tenaga dalam kuantiti yang banyak kalau dalam persekitaran yang tepat.

Inovasi Kanzius bermula apabila beliau didiognasis dengan penyakit Leukimia, pada 2003. Beliau menolak untuk menggunakan kemoterapi, sebaliknya cuba membangunkan sendiri alternatif rawatan berdasarkan pengetahuannya dalam sains gelombang. 

Dia bermula dengan mesin RFG (radio frequency generator), mesin industri yang Kanzius ubahsuainya untuk tujuan pemusnah sel kanser.

Tapi, apa kaitan sel kanser dengan bahan api?



Ketika eksperimen, seorang observer terperasan air dalam tabung uji berhampiran meruap. 

Sekiranya mesin RFG boleh membuatkan air meruap, secara teorinya ia boleh diaplikasikan untuk mengasingkan garam dari air laut. 

Ia boleh digunakan untuk desalinize air masin, dan menyelesaikan salah satu masalah dunia yang meruncing. Negara kering seperti Arab Saudi dan Singapura tentu tiada masalah untuk membayar sejumlah wang untuk teknologi pengekstrakan air bersih dari air laut ini.

Dalam eksperimen susulan, sekali lagi menemui satu side effect eksperimen yang mengejutkan . Apabila mengacukan mesin gelombang RFG kearas tabung uji berisi air masin, percikan api mula tercetus. 

Percikan api yang muncul adalah tidak normal, semua orang tahu sifat kimia air laut adalah sangat stabil. Mustahil percikan api boleh terjadi.

Kanzius memulakan sekali lagi eksperimen, kali ini dia meletakkan kertas tisu ke permukaan air. Apabila mesin RFG dipasang, cetusan api mula muncul dari permukaan air dan membakar tisu kertas sampai hangus.

Berita penemuan ini dianggap palsu, mulanya Kanzius dianggap cuba menipu komuniti saintifik. Sekumpulan ahli kimia dari Penn State Universiti tertarik dengan berita ini, kemudian mengulangi kajian dengan menggunakan method serupa, dan dakwaan Kanzius terbukti benar. 

Memang mesin gelombang RFG dan air garam boleh mencetus percikan, dan nyalaan terhasil boleh mencecah 1650’C.  

Soalnya, bagaimana air garam boleh menyala? Sebenarnya, nyalaan tadi adalah nyalaan hidrogen, terbebas dari air garam. Dalam keadaan normal, air garam berada dalam keadaan komposisi stabil antara garam (Natrium + Klorida) dan air (Hidrogen + Oksigen).

Dalam kes ni, gelombang radio dari mesin RFG Kanzius melemahkan kestabilan garam dan air. Ikatan kimia antara unsur garam dan unsur air menjadi lebih lemah disebabkan gangguan ini, dimana atom Hidrogen yang lebih reaktif mula meruap dan dibebaskan.

Proses ini menghasilkan haba. Hidrogen yang dibebaskan inilah diharapkan dapat digunakan sebagai bahan api alternatif kepada petroleum.

Tuesday, 25 December 2012

kaya sebab jual crepe durian

ADUNAN krim berwarna putih bercampur isi durian yang dibalut dengan lempeng nipis berwarna kuning itu dimakan penuh nikmat.
Rasa masam manis krim berpadu dengan isi durian yang berlemak benar-benar membangkitkan selera mereka yang menikmatinya.
Izzati Abdul Ghaffur, 24, benar-benar menikmati makanan kegemarannya yang dibeli dari sebuah kedai bakeri di Seremban, Negeri Sembilan.
"Saya sangat menggemari durian crepe. Rasanya yang lemak manis dengan isi durian yang terdapat di tengah-tengahnya benar-benar membuat saya ketagih," katanya dalam satu pertemuan.
Menurut Izzati, minatnya terhadap durian crepe berputik sebaik dia melihat gambar makanan tersebut dimuat naik oleh seorang daripada rakannya di laman sosial Facebook.
"Rakan saya bercerita tentang keenakan durian crepe yang membuatkan saya teringin untuk mencubanya," ujarnya.
Selepas mencuba makanan itu buat pertama kali, dia terus 'jatuh cinta' dengan rasanya yang unik.
"Sebagai penggemar durian, saya memang sukakan apa-apa sahaja makanan yang berasaskan durian dan durian crepe sememangnya pilihan yang tepat untuk peminat durian seperti saya," katanya yang merupakan seorang penulis blog yang gemar berkongsi cerita mengenai makanan dengan rakan-rakannya.
Ujar Izzati, kini dia pasti akan membeli makanan kegemarannya itu pada bila-bila masa dia keluar ke pusat bandar, tidak kiralah sama ada yang ditempah ataupun yang dibeli terus dari mana-mana kios makanan di pusat-pusat beli-belah.
"Jika seminggu saya tidak makan crepe durian, saya pasti akan berasa seperti tidak senang duduk kerana makanan ini benar-benar telah menjadi kegilaan saya," katanya.
Menurut sejarah kulinari, resipi crepe ditemui buat pertama kalinya di Perancis pada tahun 1390 dalam sebuah buku masakan yang bertajuk Manger 'de Paris (makanan yang berasal dari Paris).
Perkataan crepe berasal daripada bahasa Latin iaitu crispa yang bermaksud bergulung.
Tidak menang tangan
Jika di Perancis crepe disajikan sebagai hidangan utama, di Amerika pula ia dianggap sajian terlazat dan sering dihidangkan sebagai penutup hidangan..
Ia turut disajikan dalam pelbagai cara. Antaranya mengisi lapisan-lapisan ini dengan gula halus, cip coklat, krim vanila, keju, sayur-sayuran, daging atau telur.
Bagi seorang pembuat crepe durian, Zuharizam Mahamed, 30, dia tidak menang tangan menghasilkan makanan yang sedang menjadi trend di seluruh negara itu.
"Melalui promosi yang dilakukan di blog milik saya iaitu www.kedai-cupcakes.blogspot.com, saya menerima banyak tempahan crepe durian daripada orang ramai dan ini merupakan satu perkembangan yang baik terhadap perniagaan saya, " katanya yang membuat tempahan crepe durian di rumahnya di Taman Rakan, Cheras, Kajang, Selangor.
Menurut Zuharizam, dia mula belajar membuat crepe durian kira-kira tiga bulan lalu setelah melihat gambar makanan itu di dalam sebuah blog.
"Saya tertarik apabila diberitahu mengenai keunikan bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkannya.
"Sebab itulah, saya belajar membuat crepe durian meskipun pada ketika itu ia masih belum dikomersialkan lagi," ujarnya yang turut menerima tempahan membuat kek red velvet, kek pelangi, pavlova, roti, puff krim dan juga tat.
Lima jenis tepung
Proses membuat crepe durian pula bukanlah sesuatu yang mudah kerana inti dan kulitnya perlu diadun dengan betul.
"Bagi mengelakkan crepe mudah koyak, saya menggunakan lima jenis tepung. Ia juga tidak boleh terlalu tebal atau nipis," jelasnya yang mula berjinak-jinak dengan perniagaan sambilan sejak tahun 2009.
Selain itu, salah satu rahsia keenakan crepe durian Zuharizam ialah dia hanya menggunakan durian jenis Musang King sebagai inti.
"Meskipun harga durian Musang King di pasaran agak mahal, namun saya tidak kisah mengeluarkan modal yang lebih kerana saya tahu ia dapat menghasilkan rasa yang hebat," katanya yang mendapatkan bekalan durian daripada seorang peniaga di Pekan Batu Sembilan, Hulu Langat, Selangor.
Menurut Zuharizam, dia menjual empat biji crepe durian bersaiz sederhana yang dibungkus dalam bekas plastik pada harga RM10. Bagi tempahan yang kurang daripada dua bekas, Zuharizam menasihatkan pelanggan yang tinggal di sekitar Cheras supaya mengambil dari rumahnya.
Bagaimanapun, bagi tempahan yang melebihi 10 bekas plastik dan ke atas, dia akan menghantar ke lokasi pelanggan di sekitar Kuala Lumpur pada waktu makan tengah hari dan selepas waktu bekerja tanpa caj tambahan.
"Sebaik-baiknya, buatlah tempahan tiga hari sebelum bagi memudahkan proses penghantaran,"katanya 
Sementara itu, bagi pemilik gerai durian tersebut, Quah Chon Siang, 27, memperoleh bekalan durian sebanyak dua kali sehari bagi memastikan permintaan yang tinggi daripada pelanggan terhadap buah itu sentiasa dapat dipenuhi.
"Meskipun durian-durian tersebut dibawa dari Bentong, Pahang, saya sentiasa memastikan bahawa ia dapat dihantar pada sebelah tengah hari dan petang bagi mengelakkan masalah kehabisan stok.
"Saya juga tidak menyimpan durian yang tidak dibeli melebihi sehari bagi menjamin kualiti," katanya yang turut menjual buah-buahan lain seperti manggis, rambutan dan mangga.
Ditanya sama ada trend crepe durian mempengaruhi jualannya, Chon Siang mengakui bahawa jualan durian di gerai miliknya semakin hari semakin meningkat meskipun terdapat lambakan di pasaran.
"Pelanggan saya bukan sahaja terdiri daripada golongan orang persendirian yang membeli durian untuk dimakan bersama keluarga, malah para pengusaha crepe durian secara komersial dan bukan komersial," katanya yang hanya menjual durian bermutu tinggi seperti Musang King, King of Kings, duri hitam, Butter, XO dan D24.
 

kaya sebab jual kueh

Mistinah Sanduan menggunakan modal sendiri bagi membangunkan perniagaannya tanpa pinjaman daripada mana-mana pihak.


BAK kata orang di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalannya. Begitulah juga dengan Mistinah Sanduan, 57, yang mengusahakan pelbagai jenis biskut dan kerepek di rumahnya.
Segalanya bermula pada 1990 dengan berbekal wang RM250, Mistinah membeli barangan seperti ketuhar, kuali serta bahan-bahan mentah untuk membuat biskut menjelang musim perayaan.
“Daripada jumlah wang itulah segalanya berkembang menjadi seperti sekarang,” katanya semasa ditemui di premisnya di Kimpalan Kreatif Peket 100 Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor.
Mistinah yang telah lebih 20 tahun mengusahakan pelbagai produk industri asas tani seperti kerepek pisang tanduk, abu dan awak, kerepek bawang dan lima jenis biskut iaitu mama carrie, semperit, almond london, tart nanas dan biskut aiskrim dengan jenama Miscookies sempena nama Mistinah.
Beliau banyak dibantu oleh anaknya Khairul Azman Abdullah, 30, yang bertindak mengurus, merancang dan mencari bahan mentah bagi pembuatan kuih-muih dan kerepek terutama semasa musim perayaan.
Biarpun telah lebih 20 tahun mengusahakan produk industri asas tani, Mistinah masih menggunakan modal sendiri selain bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jabatan Pertanian.
“Selama ini kami tidak pernah mendapat apa-apa bantuan atau pinjaman daripada mana-mana pihak.
“Segalanya kami beli sendiri daripada keuntungan yang didapati,” katanya yang membeli sendiri ketuhar, mesin mengadun tepung, mesin menghiris pisang dan pelbagai jenis mesin bagi memudahkan tugasnya.
Bagaimanapun menjelang musim perayaan, Mistinah sedikit mengeluh kerana memerlukan modal yang banyak dan peralatan bagi menyediakan pelbagai produk untuk dipasarkan.
Buat masa ini produknya hanya dihantar ke Pasar Jawa Klang dan Pasar Borong Meru.
Ditanya mengenai sambutan yang diterima, Mistinah berkata, pelanggan memberikan maklum balas yang cukup memberangsangkan.
“Malah ada kalanya pengeluaran kerepek pisang yang boleh mencecah sehingga 300 kilogram sehari tidak dapat menampung permintaan yang semakin meningkat.
“Buat masa ini kami menghantar produk dua kali seminggu ke Pasar Jawa Klang dan Pasar Borong Meru selain ke kedai-kedai runcit berhampiran,” katanya.
Justeru menjalang musim perayaan, Mistinah menggaji 20 orang pekerja berbanding hanya lapan orang semasa hari biasa.
Ditanya mengenai harapan masa depan, Mistinah menjawab, beliau sentiasa berharap bisnes yang akan diwarisi anak-anaknya terus berkembang.
“Saya berharap satu hari nanti jenama Miscookies akan dikenali ramai bukan hanya di Klang tetapi juga di tempat lain,” katanya.
Pembaca yang berminat dengan produk Miscookies boleh menghubungi 012-6835355 atau 03-32242332.

kaya sebab jual soto sedap

ADUNAN rempah ratus yang disebatikan dengan ramuan tersendiri akhirnya menjadikan soto menu istimewa di Warong Soto Berlada.
Malah, tidak lengkap sekiranya soto tidak disajikan dengan bahan-bahan sampingan seperti isi ayam, begedil dan juga sambal cili kicap.
Sajian tradisional tersebut bukan sahaja mampu membuat anda terliur malah tidak sah sekiranya tidak mencuba barang sepinggan.
Warung terletak di Jalan AU 1A/2, Bengkel Mara, Taman Keramat, Selangor. Menurut Pengurusnya, Mohamad Ramadan, 31, resipi yang digunakan adalah resipi turun temurun.
Katanya, perniagaan tersebut pada asalnya diusahakan oleh arwah bapanya, Ahmad Safari Yunus bersama ibunya, pelakon veteran, Ruminah Sidek, yang dikenali dengan panggilan Mak Mah.
Tetapi kini ia diusahakan oleh adik-beradiknya yang lain dalam usaha mengingati usaha ibu bapa mereka itu.
"Jika hendak berbicara tentang perniagaan ini panjang ceritanya. Ia sememangnya diusahakan oleh arwah bapa dan juga ibu pada awal 70-an.
"Mereka mula berniaga di pasar-pasar malam sekitar Kuala Lumpur dan juga di gerai di Dataran Merdeka yang ketika itu terkenal dengan gerai hidangan sate dan mi Jawa.
"Kemudian ia terhenti lebih kurang lima tahun selepas arwah ayah meninggal dunia sebelum ia beroperasi semula di Jalan Enggang dan diusahakan oleh kakak dan abang," ujarnya ketika ditemui di warung sotonya, baru-baru ini.
Tambahnya, selepas beroperasi selama tiga tahun di situ, gerai tersebut telah berpindah ke lokasi hari ini.
Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, mereka mempertaruhkan menu-menu berasaskan kuah dan sup. Sememangnya kesemua masakan yang disediakan di Warong Soto Berlada boleh diberikan pujian lima bintang.
Cukup sekadar menyajikan hidangan seperti soto, mi Jawa, mi kari, laksa, nasi ayam, nasi lemak dan rojak buah. Ia sudah memadai bagi peminat-peminat hidangan berkuah seperti itu.
Jelas Ramadan lagi, keistimewaan soto, mi Jawa dan mi karinya terletak pada kuahnya.
"Kesemua kuah yang dihasilkan sememangnya resipi asli turun temurun daripada ayah cuma kami olah sedikit untuk menyedapkannya lagi.
"Bahan-bahan yang digunakan sudah pasti yang segar dan berkualiti agar para pelanggan datang lagi pada masa akan datang.
"Alhamdulillah setakat ini pelanggan-pelanggan yang datang tidak hanya yang tinggal di sekitar Lembah Klang malah boleh dikatakan dari seluruh negara termasuk pelancong-pelancong luar," katanya.
Turut menjadi tempat persinggahan bagi selebriti-selebriti tanah air, Warong Soto Berlada memberi pelbagai pilihan soto kepada pelanggan seperti soto biasa, soto special dan juga soto taukeh.
Begitu juga dengan mi Jawa di mana anda boleh memilih sama ada mahukan yang biasa ataupun yang special.
Bagi hidangan nasi lemak pula, selain dibungkus dalam daun pisang, ia juga lebih sedap sekiranya dinikmati bersama paru goreng.
Kesemua hidangan yang terdapat di warung tersebut ditawarkan pada harga serendah RM1.20 sehingga RM9.
Bukan itu sahaja, anda juga berpeluang menikmati karamel sebagai pencuci.
Tambah Ramadan, selain menerima tempahan, mereka kini dalam perancangan untuk menambah menu seperti sate dan juga pecal untuk memberikan kelebihan menu buat pelanggan.
 

kaya sebab pandai ternak ayam


Namun pengusaha terbabit Soh Ah Pin, ceria menyambut kunjungan rombongan AgroBank yang tiba dengan beberapa kenderaan.
Ah Pin, 73, anak jati Segamat terus membawa tetamu ke sekitar ladang ayam yang jumlahnya ratusan ribu ekor.
Tiada bau tidak menyenangkan kerana katanya, penggunaan mikroorganisme efektif (EM) memberi kesan yang baik untuk menyerap bau dan menghindarkan lalat.
Pesara kerajaan itu pernah bertugas sebagai kerani di Majlis Daerah Labis, Johor, selama 32 tahun sebelum menceburi bidang penternakan ayam kampung kerana melihat peluang terhidang depan mata.
‘‘Berniaga tidak semestinya untung. Ibarat hendak pergi perang. Kalau pandai (berperang) kita menanglah.
‘‘Tapi kena ada ilmu untuk jadi pandai,” ujarnya ketika ditemui di ladangnya yang terletak di Labis, Segamat Johor itu.
Sambil berkongsi pengalamannya dengan ahli rombongan, dia menunjukkan cara menghalau ayam ke reban yang menurutnya ternakan itu tahu pulang ke ‘rumah’ masing-masing.
Berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau MCE ketika itu, Ah Pin berkata, selepas bersara dia ditawarkan bantuan oleh seorang kenalan dari Perak.
Pada mulanya dia menawarkan diri untuk menternak hanya 50 ekor ayam. Tetapi rakan terbabit menasihatinya supaya memulakannya 4,000 hingga 5,000 ekor.
‘‘Saya bimbang tidak ada modal kalau hendak pelihara banyak. Teknik (menternak) tidak tahu, reban pun tidak ada,” ujarnya yang memulakan projek tersebut dengan empat buah reban sahaja.
Rakan terbabit membekalkannya 4,000 ekor ayam kampung kacuk, ubat-ubatan, makanan dan pelbagai keperluan lain dengan syarat Ah Pin menjual hasil ternakan kepadanya.
Ah Pin itu merupakan satu tuah kerana dia tidak perlu menyediakan pelaburan tinggi untuk memulakan projek pada tersebut pada 1996.
Selepas satu pusingan, dia menjual sejumlah ternakan yang boleh dipasarkan pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram dan berjaya meraih keuntungan.
Keuntungan itu digunakan untuk mengembangkan projek dengan membina lebih banyak reban.
Dia membina empat lagi reban dengan tambahan baka ayam 10,000 ekor menjadikan jumlah keseluruhan 15,000 ekor dan ketika itu jualannya mencecah RM47,000.
Tidak lama selepas itu, rakan terbabit tidak lagi membantunya dan kembali semula ke Perak, meninggalkan dia keseorangan mengurus projek berkenaan
Katanya, dia telah memiliki tiga syarikat yang mana dua daripadanya dikongsi bersama rakan dan sebuah lagi adalah syarikat keluarga.
Syarikat terbabit ialah Sam Hup Poultry Sdn. Bhd. (SHPSB), Ladang Ayam KPM Sdn. Bhd. (LAKSB) dan Sam Yong Farming Sdn. Bhd. (SYFSB).
Katanya, LAKSB yang terletak di Sungai G merupakan perniagaan keluarga manakala SHPSB dikongsi bersama rakan.
Ladang SYFSB juga terlibat dengan penternakan kambing yang baru dimulakan dan jumlahnya kini 100 ekor pelbagai baka.
Dia yang juga pengurus dan pengarah kepada syarikat terbabit berkata, keseluruhan ternakan ayam yang dimiliki mencecah 320,000 ekor ketika ini.
Ketika ini, kos pemakanan meliputi 70 peratus daripada keseluruhan kos projek tersebut. Manakala bakinya untuk ubat-ubatan, bekalan elektrik dan kos menggaji pekerja seramai 33 orang semuanya.
Katanya, sejak memulakan projek, dia telah lapan kali memperoleh pinjaman dengan Agrobank menerusi Tabung Untuk Makanan (3F) dan kali terakhir pada 2008 sebanyak RM800,000.
 
KEJAYAAN yang dicapai oleh Soh Ah Pin amat bermakna kerana ia bermula dari bawah.

kaya sebab Menjahit baju kanak-kanak

RAMAI tukang jahit tidak mahu menjahit baju kanak-kanak kerana melibatkan kerja-kerja rumit
 berbanding pakaian orang dewasa kerana memerlukan ketelitian yang lebih kerana saiznya.

PAKAIAN siap kanak-kanak, baik kemeja-T, seluar mahupun baju kurung sememangnya banyak dijual di pusat beli-belah atau kedai pakaian.
Namun, ada juga segelintir golongan ibu bapa sanggup menempah pakaian si kecil itu kerana ia lebih menepati cita rasa mereka.
Tentu sekali ibu bapa tersebut akan puas melihat baju anak mereka diperbuat daripada fabrik pilihan dan mengikut warna, corak serta potongan yang diinginkan. Ia tentu tampil eksklusif.
Begitupun, harga sepasang baju kurung kanak-kanak yang siap dijahit bukan murah seperti disangka. Sebaliknya, kos yang dibayar sama sahaja dengan harga jahitan pakaian orang dewasa.
Kebiasaannya, harga sepasang baju kurung bayi yang berusia tiga bulan hingga kanak-kanak yang berumur lima tahun dikenakan harga sebanyak RM50 hingga RM60.
Bagi seorang pembuat pakaian kanak-kanak, Jalina Jalin, 33, harga itu adalah berdasarkan kepada beberapa sebab. Paling utama, jahitan pakaian kanak-kanak memerlukan ketelitian dan kesabaran mendalam.
Ibu kepada dua anak yang mengambil tempahan baju kurung kanak-kanak melalui thejellikids.blogspot.com itu mengakui menjahit baju si kecil bukan mudah memandangkan ia melibatkan kerja-kerja rumit dan leceh.
Meskipun baru setahun menjalankan perniagaan itu, Jalina memberitahu, tugasnya sebagai tukang jahit baju kanak-kanak mempunyai cabaran tersendiri.
"Pertama adalah proses mengukur badan baju si kecil ini. Kebiasaan, mereka tidak duduk diam. Sebagai contoh, ada yang menangis kerana tidak mahu diukur malah, ada yang asyik bergerak.
"Apabila itu berlaku, agak mencabar untuk mengambil ukuran. Oleh itu, mereka ini perlu dipujuk terlebih dahulu," ujarnya yang mempunyai pola baju kurung sedia ada mengikut usia kanak-kanak.
Berbicara lanjut mengenai cabaran berkenaan, Jalina yang menjalankan perniagaan itu secara separuh masa turut berhadapan dengan masalah menjahit zip baju.
Baginya memasang zip pada baju kanak-kanak sebenarnya untuk memudahkan mereka memakai baju. Namun, ia memerlukan kesabaran yang tinggi.
"Memasang zip di bahagian belakang baju kanak-kanak terutamanya untuk bayi yang berusia tiga bulan hingga dua tahun sememangnya bukan perkara yang mudah. Saiz baju mereka yang kecil menyukarkan jahitan kerana memerlukan ketelitian.
"Selain itu, menjahit di pergelangan tangan dan bahagian ketiak juga mengambil masa yang agak lama.
"Oleh itu, dalam masa sehari saya hanya boleh menyiapkan dua helai pakaian agar dapat hasil yang kemas," jelasnya lagi.
Biarpun menjalankan perniagaan seperti itu melibatkan tugas-tugas yang mencabar, hakikatnya Jalina sentiasa peka dengan perkembangan fesyen bagi memastikan jenama The Jellikids miliknya itu terus relevan di hati pelanggan.
Ternyata beliau cukup tertarik dengan rekaan pakaian untuk kanak-kanak berbanding orang dewasa. Sebab itulah, Jalina turut mengambil tahu mengenai jenis fabrik, corak dan perkembangan fesyen yang bersesuaian dengan jenamanya.
Warna-warna garang pada fabrik dan coraknya serta jenis kain kapas yang lazim digunakan pada rekaannya membuatkan pelanggan terus berminat untuk membuat tempahan menerusi blognya.
Ditanya kenapa memilih menjahit baju kanak-kanak, Jalina memberitahu semuanya bermula apabila dia runsing memikirkan pakaian yang sesuai dipakai oleh anak keduanya yang ketika itu berusia kira-kira tiga bulan.
"Masa itu, puas saya cari baju kurung untuknya namun semua tidak menepati cita rasa dari segi pilihan material. Lantas dengan kemahiran yang pernah dipelajari melalui bengkel belajar menjahit, saya terdorong untuk cuba mereka sendiri," ujarnya.
Sejak itu, apabila menjelang musim perayaan, kedua-dua anaknya itu akan mengenakan pakaian jahitan Jalina yang akhirnya menarik minat saudara dan teman-teman terdekat. Dari situlah Jalina mula membuka blog dan menerima tempahan daripada mereka yang menyukai hasil kerjanya.
"Namun demikian, saya cuma menghasilkan pakaian kanak-kanak perempuan sahaja. Memandangkan saya ada kerja tetap, menjahit ini cuma dibuat secara sampingan," kata pegawai teknologi maklumat yang bertugas di salah sebuah syarikat swasta.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Mohamad Firdaus Mohamed Fedder, 29, dan Zarina Salleh, 29, turut berkongsi pengalaman mereka sepanjang menjahit baju kemeja T sejak empat tahun yang lalu.
Pasangan itu mengakui kerja-kerja menjahit kemeja T kanak-kanak adalah tugas yang mencabar.
Sebagai pembekal kemeja T di sekitar Lembah Klang menjelaskan menjahit baju kemeja T terutamanya di bahagian leher, pergelangan tangan dan pencantuman dua jenis warna merupakan cabaran utama dalam pembuatan kemeja T kanak-kanak.
"Disebabkan saiz baju kanak-kanak ini terlalu kecil, ia membuatkan kerja-kerja menjahit jadi sukar kerana memerlukan jahitan yang halus untuk kelihatan kemas.
"Oleh itu, langkah terbaik adalah dengan membuat pola baju kemeja T untuk memudahkan kerja-kerja jahitan selain mengelakkan masalah seperti pergelangan tangan dan pemotongan leher yang terlalu kecil mahupun besar," ujar bekas pelajar Pusat Giat Mara dari Raub, Pahang itu.
Menyambung cerita, ibu kepada dua anak itu memberitahu kemeja T yang mempunyai dua jenis warna juga sukar dijahit.
"Ia berikutan pencantuman dua jenis kain yang berwarna berbeza dan perlu dijahit dengan kemas agar tidak kelihatan jahitannya," katanya sambil memberitahu dia sanggup menimba pengalaman menjahit baju kemeja T di kilang yang terletak di Kepong.
"Alhamdulillah, meskipun baru empat tahun menjalankan peniagaan ini, orang ramai menerima hasil kerja kami dengan baik sekali gus mendorong kami untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka," katanya mereka kini tidak menang tangan untuk menerima tempahan dari pelanggan.