Sunday, 15 February 2015

Maniam henti kerja untuk berniaga

Minggu lepas nampaknya saya hanya buat posting satu artikel saja. Memang tak sempat nak menulis sebab sepanjang minggu berada di luar kawasan.
Bergerak dari Selangor, Perak, Pulau Pinang sampai ke Perlis untuk urusan perkongsian ilmu dengan para usahawan di negeri-negeri tersebut. Saya masih diluar kawasan sehinggalah hujung bulan ini.
Supaya blog ini tak putus artikel terlalu lama, saya kongsikan sedikit cerita santai berkenaan usahawan yang saya baru kenal. Usahawan kali ini berbangsa India dan namanya Maniam.

Kisah Maniam henti kerja dewan bandaraya

Maniam henti kerja daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk jadi usahawan. Maniam berhenti selepas cubaannya buat pinjaman bank untuk beli rumah ditolak mentah-mentah. Alasan utama adalah gaji tak cukup.
Memang ketika itu gaji Maniam hanyalah seribu lebih sahaja. Jika ada kerja lebih masa, bolehlah dia merasa RM1500 atau RM1600.
Bila Maniam congak-congak, entah sampai bila dia akan dapat kenaikan gaji. Kalau naik gajipun bukannya banyak sangat dan dia tak yakin kerja makan gaji itu akan dapat membawanya ke mana-mana.

Henti kerja dan cari makan dengan motosikal

Nekad untuk ubah kehidupannya, Maniam henti kerja terus dan tidak berpatah balik lagi. Masa itu dia hanya ada sebuah motosikal.
Dengan motosikal itulah Maniam bangun pagi-pagi dan pergi ambil bekalan ikan di Pasar Borong. Dia jual ikan keliling taman perumahan.
Kemudiannya dia dapat peluang bekalan borong ayam pencen dengan harga murah. Diambilnya banyak-banyak dan dijualnya pada orang ramai yang mahu makan ayam dengan harga yang menjimatkan.
Maniam gigih berusaha siang dan malam dengan hanya menggunakan motosikal. Pendapatannya mula bertambah melebihi jumlah gaji yang dia dapat daripada kerja makan gaji di Majlis Bandaraya.
Maniam himpun wang yang dia dapat sedikit demi sedikit dan dengan modal yang mencukupi dia bayar duit muka untuk beli sebuah lori kecil. Maniam kekal pakai motosikal dan tak beli kereta.

Maniam tambah lori

Dengan adanya lori, dia mengintai peluang lain yang lebih menarik. Tak lama mengintai dia dapat peluang hantar barang untuk kilang-kilang yang ada di sekitar Shah Alam.
Dengan lori itu, pendapatan Maniam bertambah dan tak lama selepas itu dia dapat pula peluang hantar akhbar ke pusat-pusat pengedaran akhbar.
Maniam gigih berusaha dan dalam masa yang sama sabar menghimpun wang. Dia tambah sebuah lagi lori hasil dari wang yang dia himpun. Pendapatannya bertambah dengan tambahan sebuah lagi lori.

Bagaimana saya kenal Maniam

Saya berkenalan dengan Maniam ketika dia mengekori saya bersenam dengan berjalan kaki keliling taman di tempat saya tinggal.
Kata Maniam, sebelum ini dia pergi bersenam di Pusat Senaman berbayar. Maniam menjaga kesihatannya sejak dia berhenti kerja dan jadi usahawan. Badannya slim dan nampak fit, macam badan saya.. (maaf sebab perasan!).
Setelah sering melihat saya bersenam seorang diri berjalan keliling taman, dia tergerak untuk ikut cara saya. Dia terfikir kenapa nak keluarkan wang untuk buat senaman sedangkan dia lihat saya bersenam dengan tenang dan gembira setiap hari dengan kadar percuma.
Dari situlah saya mula bertemuramah dengan Maniam untuk korek cerita hidupnya. Maniam beli rumah dengan harga hampir RM400 ribu dan semuanya hasil daripada usaha kerja sendiri yang dia jalankan sejak henti kerja makan gaji.

Berbaloi Maniam henti kerja

Sekarang dia ada 3 buah lori. Anak lelakinya juga berhenti kerja dan bekerja dengan Maniam sekarang. Maniam bawa sebuah lagi lori yang ada dan yang sebuah lagi pula Maniam gajikan orang untuk membawanya.
Lori Maniam semuanya dah habis dibayar. Dia lebih relaks sekarang dan memilih kerja yang mendatangkan hasil yang berbaloi saja. Lagipun isteri Maniam baru saja meninggal akibat berbagai penyakit.
Kata Maniam, dia sering menasihati isterinya agar jaga kesihatan. Jaga makan dan bersenam. Tapi isterinya tak mahu dengar cakapnya. Dia makan banyak dan malas bergerak. Isteri Maniam meninggal muda dalam umur 48 tahun saja.
Kasihan isteri Maniam. Di kala Maniam sedang meraih hasil dari penat lelah dan kesabaran mereka selama ini, dia pula meninggal dunia. Saya tak pasti bagaimana kepercayaan agama Hindu, samada Maniam boleh kahwin baru dengan mudah atau tidak.
Jika boleh, itu merupakan satu peluang baik pada Maniam untuk kahwin semula dengan isteri baru yang mungkin lebih jelita dan paling penting pandai jaga kesihatan supaya dapat jaga Maniam dengan baik.

Bila anda nak henti kerja ?

Apa yang saya boleh rumuskan di sini adalah untuk berjaya menyara kehidupan anda dengan selesa, anda hanya perlu rajin sabar dan yakin pada diri sendiri.
Untuk berjaya dalam kehidupan di dunia ini, tak kisah anda berbangsa apa atau agama apa. Asalkan rajin berusaha dan sabar, kejayaan akan menjadi milik anda.
Jika Maniam berani berhenti kerja dari DBKL kerana yakin dia boleh dapat lebih lagi jika berusaha sendiri, saya rasa anda juga mampu lakukan perkara yang sama.
Itupun jika anda ada keberanian dan bukanlah seorang yang tidak mempercayai pada diri sendiri. Jika ada keyakinan, henti kerja dan berusaha dengan gigih adalah perkara yang mudah sahaja.

Friday, 15 November 2013

kaya sebab jual jagung dalam cawan



 PADA suatu petang, ketika Nelson sedang menguruskan kedai permainan kanak-kanak miliknya di Asia Jaya, Petaling Jaya, Selangor, dia didatangi seorang lelaki. Lelaki itu membawa sebuah bakul penuh berisi jagung. Perkenalan spontan itu memberi ruang kepada lelaki itu meluahkan kesukarannya memasarkan jagung yang ditanamnya.

Tanpa berfikir panjang, Nelson terus membeli beberapa tongkol jagung daripada lelaki itu lalu membawa pulang ke rumah. Malam itu, Nelson sekeluarga menikmati jagung kukus yang dibelinya pada siang tadi. Kelembutan dan kemanisan jagung itu memikat hati Nelson. Dia bertemu semula penjual jagung itu dan bersetuju melantik lelaki tersebut sebagai pembekal utama jagung.

Peristiwa itu berlaku pada awal tahun 1980-an. Nelson kemudiannya membuka gerai kecil di hadapan kedai permainannya untuk menjual jagung. Tidak memakan masa yang panjang, jagung Nelson mempunyai pengikut setia, malah hasil jualan makanan itu lebih laris berbanding perniagaan permainan kanak-kanak. Tiga tahun kemudian, Nelson mengubah keutamaan bisnesnya daripada kedai permainan kepada gerai jagung.
Sambutan menggalakkan jagung tersebut mendorong Nelson, 57, atau Datuk Nelson Kwok Teng Toong membawa bisnes kecilnya ke dalam sebuah pasar raya di Seksyen 14, Petaling Jaya. Tahun 1985 menjadi permulaan kepada pengenalan jenama Nelson Corn (jagung manis) di Jaya Supermarket.

"Hari pertama operasi sahaja, sudah ramai orang beratur. Waktu itu saya dan isteri yang berniaga. Jagung dikukus mengikut pesanan pelanggan dan saya masih ingat bekalan jagung tidak cukup untuk menampung permintaan orang ramai.

"Ketika itu jagung masih dijual mengikut tongkol. Satu tongkol berharga RM1.20 dan ia boleh terjual sebanyak 1,000 tongkol sehari. Hujung minggu jagung mesti habis dijual
.
Ladang sendiri
Lapan tahun beroperasi di Jaya Supermarket, Nelson yakin sudah tiba masa untuk mengembangkan perniagaannya ke negeri lain. Dilema tercetus apabila masalah ketahanan jagung mengekang kelancaran pembukaan cawangan baharu.

Tanpa ladang sendiri, Nelson bergantung sepenuhnya kepada pembekal yang terdiri daripada petani-petani kontrak. Jagung yang dibawa ke luar Selangor mengecut dengan pantas dan membuatkan rasa aslinya hilang

Keuntungan perniagaan merosot dan hal tersebut menggugat keselesaan Nelson.
Mujur anak kedua daripada empat adik-beradik itu mampu menyelamatkan perniagaan tersebut daripada tersungkur. Program penyelidikan dan pembangunan dilaksanakan bagi mencari penyelesaian terhadap isu ketahanan jagung.

Solusi terbaik ditemui. Maka teknik pengasingan biji jagung daripada tongkol digunakan. Biji-biji jagung itu kemudiannya disejuk beku untuk dihantar ke cawangan Nelson di luar kawasan Lembah Klang.
Sejak itu, terciptalah budaya memakan jagung di dalam cawan. Percaya atau tidak, Nelson Corn ialah perusahaan makanan ringan berasaskan jagung pertama di dunia menggunakan pendekatan sedemikian.
Pulau Pinang menjadi cawangan pertama selepas Jaya Supermarket. Ia diikuti dengan pembukaan Nelson Corn di Kompleks PKNS, Seksyen 14, Shah Alam, Selangor. Menerusi program francais, Nelson kemudiannya menyenaraikan Nelson Corn sebagai sebuah perusahaan francais di Malaysia.

Hari ini, selepas 28 tahun bergelumang dengan jagung, jenama Nelson Corn telah berkembang di 16 buah negara dengan jumlah kedai melebihi 800 buah dan dijangka akan terus bertambah.

"Nelson Corn juga berjaya dibawa masuk ke Mesir dan Vietnam. Saya tidak menyangka perniagaan ini mampu berkembang dengan jayanya selepas memperkenalkan jenama ini di Indonesia pada tahun 1998.
"Penerimaan positif membuatkan saya lebih berani untuk meluaskan empayar Nelson Corn. Arab Saudi menjadi destinasi luar negara kedua dan sekarang ia telah memiliki lebih 400 cawangan di sana," kongsi Nelson yang juga membuka cawangan di Tanah Suci Mekah.

Baka jagung
Seiring perkembangan perniagaannya, Nelson turut membuat keputusan untuk memiliki ladang jagung sendiri. Empat tahun lalu, ladang jagung berkeluasan 97 hektar di Chemor, Perak dijadikan pusat penanaman dan pemprosesan utama Nelson Corn.

Jagung gred N28 hasil penyelidikan khusus digunakan bagi memastikan setiap produk keluaran Nelson Corn terjamin kualitinya. Malah bekalan jagung daripada kira-kira 161 hektar ladang petani kontrak turut disyaratkan menggunakan baka jagung yang sama.

Kawalan piawaian tersebut membolehkan setiap jagung yang dieksport ke cawangan luar negara tidak mempunyai perbezaan dari segi kualiti dan rasa.

"Kalau anda ke luar negara dan mencuba jagung Nelson di negara tersebut, anda pasti merasai keenakan yang sama. Semua cawangan di luar negara menggunakan jagung yang dibekalkan dari Malaysia.
"Ia membolehkan pelanggan membezakan kualiti jagung Nelson berbanding jenama lain. Saya mahu mengekalkan keseragaman ini sampai bila-bila," jelas Nelson.

Menyedari masalah golongan petani di Malaysia yang berdepan kesukaran memasarkan hasil tanaman mereka, Nelson mewujudkan program bantuan dengan nama Balik Kampung Tanam Jagung.
Mungkin ia kedengaran lucu kerana frasa itu sering merujuk kepada jenaka sinis terhadap individu yang gagal dalam sesuatu pekerjaan. Nelson cuba membuktikan kebenaran di sebalik kenyataan itu dan mahu petani sedar bahawa menceburi bidang pertanian dan perladangan mampu menjana pendapatan yang menguntungkan.

Di bawah program tersebut, Nelson menggalakkan petani-petani untuk menanam jagung N28 dan akan membeli semula hasil tanaman mereka untuk diproses menjadi produk-produk Nelson Corn.

Pemandu van
Menyelak layar hidup Nelson, menemukan rentetan kisah yang menarik. Sebelum berkecimpung dalam bidang perniagaan, Nelson yang menamatkan pengajian setakat tingkatan enam pernah berkhidmat sebagai pemandu van.

Selama empat tahun, dia membawa dan menghantar bekalan air kacang soya dari kilang pembekal ke pasar raya dan kedai-kedai runcit. Selepas itu, Nelson beralih profesion menjadi kerani sebelum memutuskan untuk membuka kedai permainan kanak-kanak.

Meskipun bapanya seorang pemborong ikan masin dan ikan bilis, tidak pernah sekali dia dipanggil bagi menguruskan perniagaan keluarga tersebut. Bapa Nelson mahu anak-anaknya belajar berdikari dan merasai pengalaman bekerja dari bawah sebelum bercadang menguruskan perniagaan sendiri.