Sunday 7 July 2013

usahawan jual makanan ikan

Ramai tidak tahu sisa makanan terbuang berpotensi untuk dikitar semula bagi menghasilkan produk makanan ikan.
Inilah yang dilakukan penternak ikan keli, Ibrahim Ahmad, 51, yang menggunakan sisa makanan terbuang untuk dikitar semula menjadi pelet ikan.

Harga makanan ikan yang tinggi di pasaran menarik minatnya melakukan R&D menghasilkan produk inovasi itu.Pernahkah terfikir menggunakan semula sisa makanan terbuang seperti roti yang luput tarikh, minyak masak terpakai, kerisik kelapa, organ ikan induk terbuang dan pucuk ubi tua?

“Hasil penyelidikan mendapati apa yang kita makan, ikan pun boleh makan. Dulu saya mencuba jagung dan ubi kayu rebus yang digaul bersama hampas soya dan kerisik kelapa.

“Ubi kayu untuk mencengkam hampas soya dan kelapa, manakala jagung membekalkan sumber protein,” katanya.

Kemudian, dia mendapat idea menggunakan roti luput tarikh yang dikitar semula untuk membuat pelet ikan.

“Roti yang dijemur selama dua hari dicampur bersama minyak masak terpakai sebagai perisa.

“Semua bahan itu diadun bersama sebelum ditambah dengan pucuk ubi tua,” katanya yang menghasilkan pelet ikan antara 100 hingga 200 kilogram.

Katanya, inovasi berkenaan dapat menjimatkan kos pembelian makanan ikan antara 40 hingga 60 peratus tanpa bergantung kepada pelet ikan di pasaran.

“Bukan saja kosnya murah, tapi pelet dihasilkan mengandungi sumber protein yang tinggi bagi menjamin pembesaran ikan di kolam ternakan,” katanya yang menjalankan inovasi itu sejak tiga tahun lalu.

Katanya, pelet itu digunakan dalam projek ternakan ikan keli dan tilapia yang diusahakan di Padang Keladi, Durian Tunggal, Melaka.

“Usaha yang dilakukan ini membolehkan saya membekalkan ikan air tawar kepada 16 sekolah di Melaka dan Negeri Sembilan.

“Ikan keli dijual kepada penternak lain, pasar dan penduduk setempat pada harga berpatutan,” katanya.

Kini, Ibrahim memiliki 48 kolam ikan termasuk keli dan tilapia dengan purata pengeluaran ikan kira-kira satu tan seminggu.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam penternakan ikan katanya, ia bermula dengan minat sebelum ditawarkan projek membekalkan ikan keli ke sekolah selama tiga tahun.

“Jabatan Perikanan sentiasa melakukan pemantauan terhadap kolam ini dengan mengambil sampel ikan untuk dianalisa dan dua kali dalam setahun untuk memastikan ikan yang dihasilkan memenuhi piawaian ditetapkan.

“Saya tidak pernah campur tepung darah yang kaya sumber protein ke kolam kerana bimbang mengandungi darah khinzir, sebab itu penting saya memastikan makanan ikan halal untuk kegunaan pengguna Islam,” katanya.

kaya sebab tanam cili

Pekerjaan sebagai ope­rator pengeluaran sebuah kilang suatu ketika dulu tidak banyak memberi peluang kepada­nya untuk hidup bermewah dalam memenuhi tuntutan hidup.
Bertahun-tahun me­ngerah keringat, namun gaji yang diterima sekitar RM650 sebulan sekadar cukup makan dan memenuhi keperluan asas.
Namun, semuanya berubah sebaik menyertai Projek Ladang Kontrak bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan mengusahakan varieti Cili Kulai yang mendapat permintaan baik di pasaran.

Siapa sangka, rezeki Arshad Mokri, 41, bertambah berkali ganda hasil kegigihannya mengusahakan ladang Cili Kulai hingga memperoleh pendapatan RM60,000 hingga RM70,000 bagi setiap kali tuaian hasil di ladang.
Bergelar usahawan, dia kini mampu tersenyum lebar dan melupakan kepayahan hidup lama kerana pendapatan diperoleh lebih daripada mencukupi untuk menampung kehidupan keluarga.

Tidak lupa akan kisah silamnya, dia mengakui projek pertanian penanaman Cili Kulai mengubah hidupnya hingga mampu menggajikan pekerja untuk menguruskan ladang berkenaan.

“Pada mulanya saya menanam Cili Kulai kira-kira 30 batas. Projek berkenaan bermula pada tahun 2008 yang dilakukan secara kecil-kecilan.

“Saya kemudian me­nyertai Projek Ladang Kontrak bersama FAMA pada 2009 dan keluasan tanah ditingkatkan kepada 0.4 hek­tar,” katanya.

Usahanya meningkatkan keluasan tanaman berbaloi kerana pendapatan daripada penanaman Cili Kulai untuk fasa kedua menghasilkan pendapatan RM5,000 hingga RM7,000 sebulan.

“Ketika itu saya masih peringkat kenal dan belajar. Saya mempelajari mengenai Cili Kulai termasuk mendalami penyakit tanaman berkenaan.

“Pada fasa ketiga penanaman cili saya dipantau FAMA dan Jabatan Pertanian, selain mereka memberikan galakan termasuk peluang berkursus,” kata­nya.

Ilmu yang ditimba membuahkan hasil berganda kerana projek untuk fasa ketiga menghasilkan pendapatan RM25,000 se­ekar.

“Dari situ, Jabatan Pertanian sekali lagi memberikan kursus. Saya diperkenalkan dengan teknik penanaman sayur yang lebih mesra alam menggunakan baja organik.

“Kualiti Cili Kulai dihasilkan semakin baik dengan penggunaan 100 peratus ‘Natural Farming’, manakala FAMA membeli hasil sebanyak 0.6 hektar,” katanya.

Katanya, Program Pe­ngukuhan Bekalan Melalui Ladang Kontak terus ke Pasar Tani mempermudahkan pemasaran Cili Kulai.

“Saya beruntung kerana FAMA menawarkan harga yang baik kepada peserta Ladang Kontrak. Biarpun harganya turun, tapi FAMA membayar pada harga tinggi.

“Buktinya ketika musim banjir tahun lalu, saya menerima bayaran RM10 sekilogram bagi Cili Kulai yang dijual,” katanya.

Katanya, musim hujan menjadi ancaman kepada penanaman Cili Kulai kerana tanah menjadi basah dan daun gugur.

“Cili Kulai mengeluarkan hasil selepas 120 hari. Peringkat penanaman selama 40 hari, diikuti proses pendebungaan pada hari ke-60 dan hari ke-120 adalah peringkat memetik buah.

“Hasil buah berkualiti pada peringkat pertama hingga kedua dan akan menurun pada peringkat ketiga disebabkan pembajaan sudah berkurangan menyebab­kan kualiti cili menurun dan mengecil,” katanya.

Katanya, dia bernasib baik kerana mengambil peluang menyertai sektor pertanian bersama rakan sekampung, selain menerima peruntukan baja dan kursus dari Jabatan Pertanian.

“Ketika itu pilihan utama saya adalah penanaman cili dan saya puas hati dengan hasil dikeluarkan, meskipun berdepan cabaran besar sekiranya diusahakan secara sambil lewa.

“Apabila dapat hasil dan dijual kepada pembeli, itulah saat paling indah dan memberi kepuasan diri. Paling teruja apabila duit yang diterima tidak pernah terputus,” katanya.

Perancangan masa depan, dia berharap dapat mempertingkatkan pe­ngeluaran cili, selain mempraktikkan sistem pengairan titis di kawasan ladang.

“Saya berharap dapat menggunakan ‘sprinkler’ dan kaedah ‘drip tape’ iaitu pengairan titis. Sekurang-kurangnya ada kitaran pe­ngairan lebih sistematik, sekali gus menjimatkan kos,” katanya.

pokok musim luruh

Pokok yang menghiasi kebanyakan taman land­s­kap di sekitar Bangi dan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang itu unik kerana menghasilkan tanaman landskap musim luruh.

Jabatan Landskap Negara turut mempromosikan pokok itu sebagai tanaman landskap penting kerana menghasilkan satu landskap musim luruh.

Kesukaran mendapatkan pokok berdaun kuning me­nyebabkan Yellow Rain Tree mendapat permintaan tinggi dan harganya mencecah ratusan ringgit sepokok.



Tahukah anda dalam 1,000 pokok Green Raintree yang dita­nam, hanya satu atau dua saja menghasilkan jenis Yellow Rain Tree (YRT) bersifat kuning.
Sifatnya yang tidak berbuah dan mengeluarkan bunga menyebabkan pokok itu sukar ditemui di pusat nurseri.

Berikutan permintaan tinggi terhadap tanaman itu, MARDI diamanahkan untuk meningkatkan pengeluaran pokok Yellow Rain Tree berskala besar.

Usaha itu dipelopori Pegawai Penyelidik Program Agronomi dan Sistem Pe­ngeluaran Tanaman Pusat Pe­nyelidikan Hortikultur Stesen MARDI, Kluang, Johor, Nor Syuhaida Ahmad Syafawi.

Bermula tahun lalu, Nor Syuhaida menggunakan teknik markot atau ‘tut’ bagi menambah jumlah tanaman itu.

“Teknik tut menambah bilangan ‘pokok ibu’ juvenil.

“Sebaik pokok ibu dikenal pasti, dahan yang sesuai dipilih dan kulit luar dikelar dan dikupas sehingga ke bahagian kambium,” katanya.

Menurutnya, bahagian itu dibalut dan diikat menggunakan parafilm.

“Pokok yang ditut dibiarkan sehingga berakar antara dua ke tiga minggu dan dipotong untuk dimasukkan ke dalam media pasir selama seminggu supaya akar lebih cepat tumbuh.

“Pokok yang mengeluarkan akar dipindahkan ke polibag,” katanya.

Teknik tut berjaya membiakkan tanaman Yellow Rain Tree dalam tempoh masa sebulan.

Dia sedang menjalakan penyelidikan menghasilkan kira-kira 5,000 pokok Yellow Rain Tree menjelang 2014.

Mengimbau kembali mengenai lokasi penanaman pokok itu, katanya, ia berasal dari Bangi, Selangor.

“Apabila pokok ibu menjadi, barulah kami tut.

“Jadi kita besarkan menjadi ibu pokok dan buat cabang pokok. Selepas dipotong, pokok akan mengeluarkan cabang lain dalam tiga minggu,” katanya.

Katanya, teknik itu mudah kerana sementara menunggu tanaman itu mengeluarkan akar, cabang pokok lain akan naik.

“Jadi, pembiakan tampang ini berterusan untuk menambah bilangan anak pokok.

“Setiap pokok ni berbeza, ada yang kuning 20 peratus dan ada yang 100 peratus kuning seperti terdapat di Bangi,” katanya.

Pokok itu pelik jika ditanam satu, tetapi berubah menjadi menarik apabila ditanam dalam kuantiti banyak.

“Ia sudah ditanam di Put­rajaya, memang cantik kerana kelihatan seperti musim luruh,” katanya.

Di pusat nurseri di MARDI, Kluang, Johor, pokok yang dihasilkan ditandakan dengan dua warna termasuk reben merah dan putih.

“Kami letak ibu pokok bertanda ‘s’ yang bermaksud Serdang. Ini memudahkan mengetahui asalnya,” kata­nya.


usahawan baja bio

Pegawai Penyelidik Kanan Program Pengurusan Persekitaran Agro-Industri Pusat Penyelidikan Sumber Strategik, MARDI, Nor Fadilah Abd Halim mempunyai formula dalam menghasilkan baja bio.

Produk baja bio pengikat nitrogen, MARDI Growth Medium (MGM) itu diba­ngunkan Nor Fadilah meng­gunakan Tabung Sains, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) me­ngambil masa dua tahun sejak 2010.

Pemegang Ijazah Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu memang hebat kerana menerima beberapa anugerah seperti pingat perak dalam Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2011 (ITEX ‘11).

Baja bio MGM, katanya meningkatkan kandu­ngan nitrogen dalam tanah khususnya tanaman sayuran berdaun hijau seperti sawi, salad dan kailan.

“Kami menghasilkan baja organik daripada sisa pertanian.

“Medium baja bio pe­ngikat nitrogen dihasilkan berbentuk cecair dan digunakan untuk tanaman salad dan kailan selain projek tanaman Rock Melon.

“Baja bio tidak ba­nyak berbeza berbanding baja urea tetapi lebih menjimatkan kos,” katanya.

Katanya, kos material 55 sen per liter dan mengurang­kan sehingga 95 peratus kos pengeluaran.

“Baja bio komersial me­ngandungi satu peratus nitrogen saja dalam baja terbabit.

“Bagaimanapun jika kita gunakan medium ini de­ngan mikrob yang kita asing­kan, kita akan mendapat lebih daripada dua peratus kandungan nitrogen dalam baja bio,” katanya.

Katanya, penghasilan produk bio pengikat nitrogen dalam usaha pihaknya mempromosi Teknologi Hijau dalam penghasilan baja bio.

Menggunakan slogan ‘lebih cepat dari medium lain dan Teknologi Hijau’, sasaran baja itu adalah petani yang menggunakan projek pertanian organik.

“Sebab pertanian organik 100 peratus adalah bio dan ia membantu petani yang mengamalkan pertanian organik sebagai alternatif baja,” katanya.

Berkongsi mengenai proses penghasilan baja itu, katanya, pasukan penyelidik projek itu menemui bakteria bermanfaat yang boleh mengikat nitrogen secara bebas.

“Selepas kita asingkan, kita kenal pasti ada empat bakteria yang berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya.

Memandangkan tumbuhan hijau mengambil masa sebulan untuk membesar, maka dalam dua minggu, kita berikan pembajaan untuk kali kedua.

Katanya, teknologi dibangunkan itu sudah diserahkan kepada syarikat baja, All Cosmos Biotech Holdings Sdn Bhd.

“Kita menghasilkan baja bio pengikat nitrogen dalam bentuk cecair dan kompos daripada tandan kelapa sawit,” katanya.

Dari segi prapengkomersialan, ujian sudah dilakukan terhadap berapa jenis pokok seperti sawi, kailan dan bayam. Hasilnya amat memuaskan.

“Sayuran menggunakan baja bio lebih rangup dan manis berbanding baja urea yang agak pahit,” katanya.

Katanya, kadar kemanisan rock melon juga lebih tinggi.

Menurutnya, penghasilan produk MGM dalam bentuk serbuk memboleh­kannya tahan lama.

“Kalau disimpan dalam bentuk cecair, kita perlu sejukkan dan cara pengendaliannya rumit,” katanya.

Monday 1 July 2013

usahawan ternak lebah

Apakah keperluan asas yang diperlukan untuk memulakan projek penternakan Lebah Madu?
Jabatan Pertanian sendiri ada menyediakan kursus penternakan Lebah Madu jenis Apis cerana (tempatan) dan Apis mellifera (import)disamping memberikan khidmat nasihat teknikal kepada usahawan-usahawan yang berminat. Bagi memulakan projek penternakan Lebah Madu, lima (5) kriteria utama yang diperlukan adalah; minat, pengetahuan mengenai penternakan Lebah Madu, peralatan, kawasan yang sesuai dan sumber makanan yang mencukupi.
Ada pelbagai jenis lebah madu boleh digunapakai. Di antaranya lebah dari spesis Apis dorsataApis cerana, dan Apis mellifera. Spesis Apis mellifera paling banyak digunakan dalam industri lebah madu. Jenis ini lebih produktif dan juga lebih jinak dibandingkan spesis Apis cerana . Racun pada sengatnya sangat sesuai untuk mengubati pelbagai jenis penyakit.
Ciri-ciri lebah madu yang baik:
  • Ratu lebah berupaya hidup hingga 3 tahun
  • Ratu lebah menghasilkan jumlah telur yang banyak
  • Koloni lebah banyak hasilkan madu, bee pollen, royal jelly dan propolis
  • Larva lebah yang dihasilkan lebih segar
  • Lebah biasanya lebih agresif
  • Memperbanyakan koloni lebah madu

Permulaan ternak lebah madu:
untuk permulaan ternakan lebah madu ini, tidak banyak yang perlu disediakan. kita hanya perlu membeli koloni lebah madu dari penternak lebah madu. Biasanya pembelian koloni ini dibuat pada waktu malam dan dilengkapi dengan kotak, kasa dan penutupnya. Buat sementara waktu, kita tidak perlu membeli koloni lebah madu dalam jumlah terlalu banyak, dan tidak juga terlalu sedikit. Dalam penyediaan kotak koloni lebah madu, biasanya perlu dibuat tiang (kayu/besi) agar kotak tidak menyentuh tanah.
Untuk menghasilkan keuntungan yang optimum dari penternakan lebah madu ini, penternak lebah madu harus mempunyai sekurang-kurangnya 100 kotak koloni lebah madu. Langkah-langkah untuk meningkatkan jumlah koloni lebah madu ialah:
  • Lokasi ternakan: Lokasi yang disukai lebah adalah tempat terbuka. Juga tiada masalah sekiranya di bawah pokok atau di kawasan panas terik, jauh dari keramaian dan banyak terdapat bunga. Dengan jumlah kawasan pemakanan yang mencukupi ini, ratu lebah dapat menghasilkan lebih banyak telur dan lebah pekerja juga lebih giat membuat sarang baru.
  • Suhu yang ideal: sesuai dalam sekitar 26-30°C. Di lereng pergunungan/dataran tinggi yang bersuhu normal (25°C).
  • Penyediaan Ratu lebah madu yang baru: untuk ditempatkan dalam koloni lebah madu yang baru.
  • Mengasingkan atau memisahkan koloni lebah madu: koloni lebah madu yang sudah padat, akan dipisahkan dan diletakkan ke dalam kotak koloni lebah madu yang baru dan menempatkan ratu lebah baru atau ratu lebah yang sedia ada ke kotak koloni tersebut.

Tanaman makanan yang sesuai untuk ternakan lebah madu
  • pokok rambutan=nektar
  • pokok petai belalang= nektar
  • pokok mangga = nektar
  • pokok durian = nektar
  • pokok kopi = nektar + pollen
  • pokok kenaf = nektar
  • pokok jagung = pollen
  • pokok jati= nektar
  • pokok gajus = nektar
  • pokok longan= nektar
  • pokok getah = nektar
  • pokok petai = nektar
  • pokok nenas = nektar (tidak digunakan secara meluas)
  • pokok kekabu = nektar + pollen
  • pokok gelam = nektar + pollen

kaedah bagi memastikan bekalan makanan lebah tidak putus adalah dengan pemindahan lebah ke tempat yang sesuai mengikut musim bunga yang ada. Perkara yang perlu diambil perhatian semasa pemindahan koloni lebah adalah:
  • dilakukan pada malam hari (lebah tidak aktif pada waktu ini)
  • jika jarak jauh, perlu makanan tambahan (buatan)
  • jarak lokasi minimum dalam lingkungan 3 km
tujuan utama pemindahan ini adalah untuk memastikan produktiviti madu tidak menurun secara drastik. pemberian makanan tambahan bertujuan untuk mengatasi kekurangan makanan akibat perubahan cuaca dan ketika melakukan pemindahan. makanan tambahan ini tidak dapat menambah produktiviti, hanya sebagai makanan gantian sewaktu pemindahan.

Peralatan penternakan lebah madu :
  • Kotak lebah, tempat koloni lebah madu terbuat dari kayu Suren atau Mahoni
  • Alat pengasapan untuk menghalau lebah madu yang agresif
  • jaring pelindung muka
  • Sisiran - yang terbuat dari rangka kayu dan ditengahnya diberi kawat sebagai penahan landasan sarang lebah madu.
  • Pengungkit sisiran
  • Pisau
  • Sikat sisiran lebah madu
  • Pollen Trap untuk pungut hasil Bee Pollen
  • Frame Royal jelly untuk pungut hasil Royal Jelly dan tempat untuk menghasilkan Ratu Lebah yang baru.
  • mesin pemerah madu untuk mengeluarkan madu
  • bekas/ baldi kutip madu
  • Pengutip madu

Membuat Ratu Lebah yang baru (requeening)
  1. Ambil larva lebah madu yang baru menetas usia 1 hari
  2. Masukan sepotong frame Royal jelly
  3. Frame Royal jelly yang sudah berisi larva lebah madu di tempatkan pada kotak koloni ( kotak lebah madu yang berisi koloni lebah madu minimum 2 tingkat)
  4. Sekat/pisahkan kotak koloni lebah madu tersebut dengan ratu lebah berada di kotak bawah dan frame royal jelly untuk ratu lebah madu yang baru di tempatkan pada kotak atasnya. Sehingga ratu lebah madu tidak boleh mendekati calon ratu lebah madu.
  5. Dibiarkan selama 11 hari sampai ratu lebah yang baru menjadi kepompong.
  6. Setelah11 hari ratu lebah yang baru tersebut di pindahkan ke kotak lebah yang berisi koloni lebah tanpa ada ratunya.
  7. 13 hari ratu lebah yang baru keluar dari kepompong dan seterusnya menjadi ratu lebah oleh koloni lebah tersebut
  8. Biasanya setelah seminggu, ratu lebah yang baru bersedia untuk mengawan dan akan mengembangkan koloni lebah yang baru (ditempatkan di kotak koloni yang baru).

Serangan penyakit dan perosak
Lebah mempunyai musuh dan penyakit yang boleh menyebabkan kematian, kepupusan dan pengeluaran madu berkurangan. Terdapat dua jenis masalah utama kepada lebah iaitu BAKTERIA dan PARASIT. Bakteria banyak memberi kesan kepada lava. Dua penyakit yang biasanya menyerang lebah, American Foul Brood dan European Foul Brood.
Saintis mengatakan kita mungkin di ambang kepupusan "peak honey bee colony".  Lebah madu di Amerika dan Eropah semakin menghilang. Kenapa phenomena ini berlaku?
Lebah madu ini keluar meninggalkan sarang dan tidak kembali lagi menyebabkan lebah madu ini akhir mati.
USDA-Jabatan Pertanian Amerika mengatakan ini dipanggil colony collapse disoder (CCD). Hasil pertanian Amerika 1/3 adalah dari aktiviti pollination tanaman pertanian yang bernilai USD200 bilion setahun.
Pentingnya lebah madu di Amerika ada bisnes menyewa lebah madu yang diternak dibawa dengan treler pergi ke ladang-ladang di seluruh Amerika. Industri menyewa madu lebah memberi pulangan yang lumayan.
Dengan banyaknya koloni lebah madu menghilang dan mati, setiap tahun penternak lebah madu Amerika rugi USD 2.5 bilion.
Antara punca CCD ialah:
  • Parasit kutu
  • Virus dan bakteria
  • Racun serangga seperti neonicotinouds menggangu radar lebah madu
  • Stress kerana aktiviti sewa lebah madu mengembara jauh bersama treler
  • Perubahan cuaca dunia
  • Kehilangan habitat
  • Daya elektromagnetik (kemungkinan)