Friday 26 April 2013

stategi pasaran promosi guna risalah

Perkongsian kali ini akan merungkai sedikit persoalan sejauh mana kaedah mengedar risalah membantu kita mengembangkan perniagaan. Walaupun pengalaman lepas saya hanyalah dalam bidang pembiayaan peribadi, tetapi ia boleh diguna pakai dalam perniagaan lain.
Mungkin cabaran terbesar menggunakan teknik ini ialah perasaan segan untuk berinteraksi dengan pelanggan kerana sesetengah pelanggan tidak mahu diberi penekanan secara berlebihan sebagaimana diri kita sendiri apabila berhadapan dengan promoter yang cuba mendekati kita. Tetapi ada juga pelanggan yang selesa menerima risalah dan menyimpan untuk dibaca kemudian. Masalah segan ini patut diatasi kerana dalam perniagaan yang halal niat kita yang paling utama ialah memberikan perkhidmatan kepada pelanggan, berniaga dengan tujuan mencari rezeki halal adalah berbeza dengan meminta sedekah. Maka ubah persepsi kita tentang perniagaan  dan jangan rasa malu bermula dari bawah.
RISALAH MENJADI RUJUKAN PADA BILA-BILA MASA.
Pelanggan yang cuba untuk mengingat keperluan semasa akan mempunyai rujukan dalam mencari perkhidmatan atau produk yang berkaitan maka usahakan supaya risalah lebih cantik dan tahan lama untuk disimpan. Mungkin risalah dalam bentuk Kalendar kerana pelanggan ada sebab untuk menyimpan risalah perkhidmatan.
RISALAH MENJIMATKAN KOS PENGIKLANAN, PROMOSI BERLAKU SECARA  PASIF.
Berapa juta kita sanggup bayar untuk mengiklankan produk di saluran televisyen? Risalah dapat menjimatkan kos kerana promosi juga berlaku secara pasif apabila pelanggan menyimpan risalah . Pada waktu malam kita berehat tetapi risalah itu sendiri mempromosikan perkhidmatan kita apabila pelanggan membaca risalah yang disimpan. Maka ia dikatakan promosi secara pasif.
MUDAH DISAMPAIKAN DAN MEMBERI KESELESAAN  PELANGGAN TANPA KITA PERLU MEMUJUK.
Walaupun faktor nasib terlibat tetapi dengan mengedar lebih banyak risalah menjadikan nasib kita lebih baik. Dalam subjek matematik SPM ada bab yang mengajar tentang kebarangkalian, inilah salah satu kaitan matematik  dalam kehidupan seharian. Bercakap tentang keselesaan pelanggan ada pelanggan yang tidak selesa untuk berbual dengan promoter kerana faktor sibuk, ataupun kerana tidak mahu rasa dipaksa membeli sesuatu. Maka risalah ini satu jalan mudah kepada pelanggan walaupun ada yang tidak mahu ambil risalah tersebut  ia perkara biasa dan akan kita bincang kemudian.
RISALAH MENINGKATKAN BRAND.
Penting untuk kita menghebahkan kewujuan bisnes selain mempromosikan jenama perniagaan . Apabila kerap pelanggan menerima risalah maka secara tidak langsung jenama perniagaan akan melekat dan terkesan di hati pelanggan. Usaha promosi perlu berterusan kerana ia adalah kunci kepada kejayaan perniagaan.
RISALAH MENJIMATKAN RUANG.
Kelebihan promosi melalui risalah akan membantu menjimatkan ruang premis. Kadang-kadang suatu premis perniagaan tidak cukup ruang untuk meletakkan lebih banyak produk kerana saiz premis yang kecil. Atau produk berada di stor atau rumah, dengan menggunakan risalah, perkhidmatan atau produk boleh dijual walaupun tidak kelihatan di mata pelanggan.
RISALAH MENJIMATKAN MASA KITA DAN MASA PELANGGAN.
Melalui risalah kita boleh memilih siapa pelanggan kita, jika pelanggan kita kakitangan kerajaan kita boleh letakkan di kawasan yang berkaitan seperti bangunan kerajaan. Ini akan menjimatkan masa kita kerana skop boleh dikecilkan ikut sasaran dan tanpa perlu banyak cakap. Pelanggan pun boleh merancang perbelanjaan selain membantu pelanggan membuat pilihan dengan lebih pantas. Kerap terjadi kita mencari perkhidmatan atau produk tetapi lupa di manakah tempat yang ingin dituju, risalah yang diterima prospek akan membantu mereka mengingat. Pastikan maklumat dalam risalah lengkap berkaitan perniagaan terutama sekali alamat dan nombor telefon.
FORMULA KEJAYAAN
Ada cerita berkenaan jurujual jutawan di Amerika, apabila ditanya tentang rahsia kejayaan beliau memberikan formula iaitu
SWSWSW=NEXT atau  Some Will, Some Won’t, So What, = Next.
Apabila kita telah mempromosikan sesuatu perkhidmatan atau produk sudah pasti ada yang tidak mahu, tetapi dalam masa yang sama pasti akan ada yang mahu seperti dalam bahasa sekarang “apa ku kisah” promosi perlu diteruskan kepada prospek lain. Penerimaan dan penolakkan adalah proses biasa yang akan sentiasa berulang. Sehingga anda telah lali, hilang perasaan kecewa tanpa putus asa maka kejayaan bukanlah suatu yang mustahil kerana hanya masa yang akan menjadi penentu.
Semasa terlibat dalam bidang pembiayaan peribadi saya pernah menggunakan teknik promosi menggunakan risalah dan Alhamdulillah teknik ini mampu menjana pendapatan 5 angka walaupun tidak konsisten tetapi sekurang-kurangnya pengalaman lepas memberikan saya gambaran yang jelas betapa teknik ini berpotensi meningkatkan pendapatan.
Sehingga ketika ini pun saya masih menggunakan risalah untuk mempromosikan pusat tuisyen yang saya jalankan, walaupun belum memberikan pulangan besar kerana kesibukkan dalam menyediakan bahan dan mendidik berbanding mempromosi, tetapi saya yakin apabila ada peluang untuk kembali beraksi dalam mempromosikan perniagaan pusat tuisyen menggunakan risalah, teknik ini pasti mampu menghasilkan sesuatu. Walau bagaimanapun sebagai persediaan menerima lebih banyak pelanggan, perkhidmatan mesti dimantapkan atau diperbaiki dari segi mutu, risalah hanya khabar tetapi perkhidmatan atau produk anda adalah rupa sebenar, jangan sampai terjadi “INDAH KHABAR DARI RUPA”. Sebagaimana dalam dunia blog “CONTENT IS KING”. Biarlah usaha promosi kita setanding dengan perkhidmatan yang kita sediakan. Sekian.