Perkongsian kali ini akan merungkai sedikit persoalan sejauh mana
kaedah mengedar risalah membantu kita mengembangkan perniagaan. Walaupun
pengalaman lepas saya hanyalah dalam bidang pembiayaan peribadi, tetapi
ia boleh diguna pakai dalam perniagaan lain.
Mungkin cabaran terbesar menggunakan teknik ini ialah perasaan segan
untuk berinteraksi dengan pelanggan kerana sesetengah pelanggan tidak
mahu diberi penekanan secara berlebihan sebagaimana diri kita sendiri
apabila berhadapan dengan promoter yang cuba mendekati kita. Tetapi ada
juga pelanggan yang selesa menerima risalah dan menyimpan untuk dibaca
kemudian. Masalah segan ini patut diatasi kerana dalam perniagaan yang
halal niat kita yang paling utama ialah memberikan perkhidmatan kepada
pelanggan, berniaga dengan tujuan mencari rezeki halal adalah berbeza
dengan meminta sedekah. Maka ubah persepsi kita tentang perniagaan dan
jangan rasa malu bermula dari bawah.
RISALAH MENJADI RUJUKAN PADA BILA-BILA MASA.
Pelanggan yang cuba untuk mengingat keperluan semasa akan mempunyai
rujukan dalam mencari perkhidmatan atau produk yang berkaitan maka
usahakan supaya risalah lebih cantik dan tahan lama untuk disimpan.
Mungkin risalah dalam bentuk Kalendar kerana pelanggan ada sebab untuk
menyimpan risalah perkhidmatan.
RISALAH MENJIMATKAN KOS PENGIKLANAN, PROMOSI BERLAKU SECARA PASIF.
Berapa juta kita sanggup bayar untuk mengiklankan produk di saluran
televisyen? Risalah dapat menjimatkan kos kerana promosi juga berlaku
secara pasif apabila pelanggan menyimpan risalah . Pada waktu malam kita
berehat tetapi risalah itu sendiri mempromosikan perkhidmatan kita
apabila pelanggan membaca risalah yang disimpan. Maka ia dikatakan
promosi secara pasif.
MUDAH DISAMPAIKAN DAN MEMBERI KESELESAAN PELANGGAN TANPA KITA PERLU MEMUJUK.
Walaupun faktor nasib terlibat tetapi dengan mengedar lebih banyak
risalah menjadikan nasib kita lebih baik. Dalam subjek matematik SPM ada
bab yang mengajar tentang kebarangkalian, inilah salah satu kaitan
matematik dalam kehidupan seharian. Bercakap tentang keselesaan
pelanggan ada pelanggan yang tidak selesa untuk berbual dengan promoter
kerana faktor sibuk, ataupun kerana tidak mahu rasa dipaksa membeli
sesuatu. Maka risalah ini satu jalan mudah kepada pelanggan walaupun ada
yang tidak mahu ambil risalah tersebut ia perkara biasa dan akan kita
bincang kemudian.
RISALAH MENINGKATKAN BRAND.
Penting untuk kita menghebahkan kewujuan bisnes selain mempromosikan
jenama perniagaan . Apabila kerap pelanggan menerima risalah maka secara
tidak langsung jenama perniagaan akan melekat dan terkesan di hati
pelanggan. Usaha promosi perlu berterusan kerana ia adalah kunci kepada
kejayaan perniagaan.
RISALAH MENJIMATKAN RUANG.
Kelebihan promosi melalui risalah akan membantu menjimatkan ruang
premis. Kadang-kadang suatu premis perniagaan tidak cukup ruang untuk
meletakkan lebih banyak produk kerana saiz premis yang kecil. Atau
produk berada di stor atau rumah, dengan menggunakan risalah,
perkhidmatan atau produk boleh dijual walaupun tidak kelihatan di mata
pelanggan.
RISALAH MENJIMATKAN MASA KITA DAN MASA PELANGGAN.
Melalui risalah kita boleh memilih siapa pelanggan kita, jika
pelanggan kita kakitangan kerajaan kita boleh letakkan di kawasan yang
berkaitan seperti bangunan kerajaan. Ini akan menjimatkan masa kita
kerana skop boleh dikecilkan ikut sasaran dan tanpa perlu banyak cakap.
Pelanggan pun boleh merancang perbelanjaan selain membantu pelanggan
membuat pilihan dengan lebih pantas. Kerap terjadi kita mencari
perkhidmatan atau produk tetapi lupa di manakah tempat yang ingin
dituju, risalah yang diterima prospek akan membantu mereka mengingat.
Pastikan maklumat dalam risalah lengkap berkaitan perniagaan terutama
sekali alamat dan nombor telefon.
FORMULA KEJAYAAN
Ada cerita berkenaan jurujual jutawan di Amerika, apabila ditanya tentang rahsia kejayaan beliau memberikan formula iaitu
SWSWSW=NEXT atau Some Will, Some Won’t, So What, = Next.
Apabila kita telah mempromosikan sesuatu perkhidmatan atau produk
sudah pasti ada yang tidak mahu, tetapi dalam masa yang sama pasti akan
ada yang mahu seperti dalam bahasa sekarang “apa ku kisah” promosi perlu
diteruskan kepada prospek lain. Penerimaan dan penolakkan adalah proses
biasa yang akan sentiasa berulang. Sehingga anda telah lali, hilang
perasaan kecewa tanpa putus asa maka kejayaan bukanlah suatu yang
mustahil kerana hanya masa yang akan menjadi penentu.
Semasa terlibat dalam bidang pembiayaan peribadi saya pernah
menggunakan teknik promosi menggunakan risalah dan Alhamdulillah teknik
ini mampu menjana pendapatan 5 angka walaupun tidak konsisten tetapi
sekurang-kurangnya pengalaman lepas memberikan saya gambaran yang jelas
betapa teknik ini berpotensi meningkatkan pendapatan.
Sehingga ketika ini pun saya masih menggunakan risalah untuk
mempromosikan pusat tuisyen yang saya jalankan, walaupun belum
memberikan pulangan besar kerana kesibukkan dalam menyediakan bahan dan
mendidik berbanding mempromosi, tetapi saya yakin apabila ada peluang
untuk kembali beraksi dalam mempromosikan perniagaan pusat tuisyen
menggunakan risalah, teknik ini pasti mampu menghasilkan sesuatu. Walau
bagaimanapun sebagai persediaan menerima lebih banyak pelanggan,
perkhidmatan mesti dimantapkan atau diperbaiki dari segi mutu, risalah
hanya khabar tetapi perkhidmatan atau produk anda adalah rupa sebenar,
jangan sampai terjadi “INDAH KHABAR DARI RUPA”. Sebagaimana dalam dunia
blog “CONTENT IS KING”. Biarlah usaha promosi kita setanding dengan
perkhidmatan yang kita sediakan. Sekian.
No comments:
Post a Comment