Wednesday, 13 November 2013

kaya sebab jual jamu



Perjalanan kehidupan penjual jamu menjadi jutawan
 

Halimah Shuib, pemenang pertandingan Ratu Kebaya sebanyak 12 kali. Pengasas jamu mak dara adalah kelahiran Rengit, Batu Pahat, Johor

Menceritakan detik pertama bergelar Ratu Kebaya, Halimah memberitahu beliau menyertainya ketika berumur 11 tahun.“Masa itu, saya darjah lima. Pada mulanya saya tak berminat sangat kerana tidak pandai bergaya.“Tapi bila ada lori masuk ke kampung dan uar-uarkan ada pertandingan Ratu Kebaya untuk kutip derma, keluarga mencadangkan supaya saya mencuba nasib.

“Walaupun baru 11 tahun, tubuh saya besar dan kelihatan lebih dewasa berbanding usia. Kalau tak silap, tinggi saya masa itu sudah lebih 160 sentimeter.“Seminggu menghampiri hari pertandingan, saya rasa gemuruh. Dah boleh terbayang saya kena berjalan di atas pentas depan ramai orang.

“Untuk pertandingan itu, saya menjahit sendiri baju kebaya. Nak kata pandai menjahit tak juga. Bila tengok fesyen di majalah, saya cuba ikut. Emak pula hadiahkan kasut tumit tinggi dan kain batik jawa,” ceritanya.
Dalam pertandingan yang disertai 23 gadis dari sekitar pekan Rengit itu, Halimah memakai angka giliran 19.
“Lepas seorang, seorang peserta berjalan. Bila tiba giliran saya, orang ramai bersorak menyebabkan saya semakin bersemangat.

“Selepas seminggu, baru keputusan diumumkan dan saya mendapat tempat pertama.
“Hadiah yang saya dapat tidak sebesar pertandingan Ratu Cantik sekarang, lagipun ia dianjurkan untuk mengutip derma,” katanya.

Selepas pertandingan itu, apabila ada pertandingan Ratu Kebaya, Naib Penghulu pekan Rengit pasti mempelawa Halimah untuk bertanding. Kejayaan demi kejayaan menyebabkan beliau dikenali sebagai Ratu Kebaya.

Surat cinta satu almari

Selain beraksi di pentas peragaan, Halimah juga aktif dalam pentas sandiwara dan digelar biduanita kampung ketika itu.“Saya berlakon pentas dan menyanyi untuk majlis-majlis keramaian yang diadakan di kampung dan sekitar Johor.

“Kenangan yang saya ingat sampai sekarang ialah bila berpeluang menghiburkan peserta rombongan pelakon pentas yang dianggotai P. Ramlee, Sarimah dan beberapa nama besar lain.

“Selesai berlakon, P. Ramlee naik ke pentas dan memberikan hadiah kepada saya. Memang momen itu akan kekal dalam ingatan saya sampai bila-bila,” kenang beliau.

Dengan gelaran Ratu Kebaya dan aktif di pentas keraian, Halimah mengakui beliau diburu ramai lelaki sehinggakan surat-surat cinta mereka tidak mampu dibalas Halimah.

“Selepas nama Halimah Shuib semakin dikenali di negeri Johor, saya dapat banyak surat. Satu almari kayu penuh dengan surat peminat. Setiap minggu, posmen akan bawa tiga ikat surat, hanya untuk saya. Ada yang hendak berkawan, minat dengan lakonan saya dan ramai juga yang ajak berkahwin.“Ada juga orang kenamaan yang ingin memperisterikan saya, tapi saya pegang kata bapa dan emak, enggang sama enggang, pipit sama pipit.

Pada usia 13 tahun, Halimah berkahwin buat kali pertama. Selepas mendapat seorang anak, suaminya meninggal dunia.

“Hidup sebagai ibu tunggal pada usia belasan tahun tidak mudah ketika itu. Saya aktif semula dalam pertandingan dan arena pementasan sehingga bertemu jodoh untuk kali kedua.“Selepas memiliki tiga orang anak, saya melupakan pentas peragaan dan menumpukan perhatian terhadap keluarga.



“Namun, saya sangkakan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Suami meninggalkan saya dan enam anak yang masih kecil.Kehidupan Halimah berubah selepas itu. Demi anak-anak, beliau mencuba pelbagai pekerjaan termasuk berniaga nasi campur.

“Saya pernah berniaga nasi campur di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Perniagaan berjalan baik walaupun banyak cabaran yang terpaksa saya dan anak-anak tempuhi.“Malangnya gerai saya disita penguat kuasa bandar raya. Habis semua kena angkut termasuk barang basah yang baru dibeli dari pasar bernilai RM650.
“Masa itu memang saya terduduk. Sewa rumah tak boleh bayar, kereta kena tarik dan akhirnya kami dihalau dari rumah sewa.
 


kerana tiada tempat nak bermalam, kami menumpang tidur di tepi longkang tuan rumah sewa. Makan pun kena cari dalam tong sampah, minum pun air paip saja.

Jadi tukang masak di Genting Highlands
Tidak mahu terus hidup melarat, Halimah menghantar anak-anaknya pulang ke Rengit manakala beliau bekerja sebagai tukang masak di Muslim Café di Genting Highlands.Dua tahun bekerja di sana, Halimah berhenti dan pulang ke kampung.

“Ramai yang dengkikan saya. Masa saya bekerja di Genting, ada yang kata saya menyundal di atas bukit. Sampaikan ada orang kampung yang datang buat rombongan ke Genting, nak tengok apa pekerjaan sebenar saya.

“Apabila balik bercuti di kampung, emak mula cerita cakap-cakap belakang orang kampung terhadap saya. Bila emak kata dia percaya anaknya cari rezeki halal dan bukan perempuan sundal, saya terus lembik dan pengsan.

“Tak sangka, ada yang sampai hati burukkan nama saya sampai macam itu sekali. Memang tidak mudah menjadi ibu tunggal. Ada saja yang tak kena pada mata orang lain.

Kini, bertemankan kekuatan daripada anak-anak, beliau mula dikenali terutama selepas jamu Mak Dara yang diasaskannya mendapat tempat di pasaran.“Saya dah serik dengan perkahwinan. Setahun saya menangis bila ditinggalkan suami.“Walaupun ramai ingin berkawan rapat, saya lebih selesa jika berkawan biasa.



“Sejak pertengahan tahun lepas(2008) sampai sekarang, sudah sembilan orang yang datang meminang, semuanya berpangkat, ada kedudukan, ada yang bergelar tan sri dan datuk, tapi hati saya belum terbuka hendak berpasangan lagi pada usia begini.“Biarlah saya mengecapi kebahagiaan ini bersama anak dan cucu saya. Saya takut menangis lagi,” ujar Halimah yang mempunyai 19 orang cucu
 
Produk jamu mak dara


‘Penangan’ Jamu Mak Dara membuatkan Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd (JMDSDN) yang juga anak keempat Halimah, Syed Muhammad Gadaffi, 35, tidak duduk diam.

Mungkin ini yang dikatakan rezeki dan tuah yang diiringi dengan kesabaran tinggi. Siapa menduga dua beranak itu yang pernah hidup melarat kini meniti kejayaan.




Siapa sangka, dengan hanya satu produk — Jamu Mak Dara — ia menjulang nama kedua-duanya, malah dalam tempoh dua tahun kewujudannya, produk itu terus mencatat prestasi mengagumkan. Bermula daripada satu paket jualan pada awal 2006, ia kini mencecah minimum 300 botol sehari.

Barangkali mungkin ramai mengenali jenama Jamu Mak Dara — produk berasaskan herba yang direka khusus untuk wanita dan lelaki bagi meningkatkan prestasi kesihatan.


“Saya bersama ibu pernah berkongsi makan mi segera, tidak mampu bayar sewa rumah, bengkel membaiki kereta dijadikan rumah selama tiga tahun, tumpang rumah orang dan paling menyedihkan, ibu tidur di dalam ‘stall’ (gerai tolak) selama dua tahun manakala saya tumpang tidur di rumah seorang rakan berbangsa Cina,” katanya yang lebih dikenali sebagai Abib.

Melayari hidup anak kelahiran Kuala Lumpur (KL) itu, Abib dibesarkan di Selayang sebelum pulang ke kampung di Rengit, Batu Pahat, Johor untuk tinggal bersama nenek sementara ibunya bekerja di Genting Highlands sebagai tukang masak.




Kehidupannya sejak kecil hingga besar, mendidik Abib untuk berdikari. Pada usia sembilan tahun, Adib membantu ibunya menjual kuih-muih di Sekolah Rendah Kebangsaan Selayang Baru, Selayang.

Abib pernah dimarahi guru kerana berniaga, namun itu tidak mematahkan semangatnya mencari rezeki, malah dia mula menjual seawal jam 4 pagi di pintu pagar sekolah bagi mengelak dikenakan tindakan.

Ketika di sekolah menengah di Batu Pahat, selain menjual kuih-muih, selepas waktu sekolah Adib bekerja di kedai makan dari tingkatan 1 hingga 5 bermula jam 3 petang hingga 2 pagi.

“Ketika di Rengit, ibu bekerja di Genting Highlands, jadi saya urus diri sendiri. Untuk dapat duit belanja, saya kerja di kedai makan dengan gaji RM1 sehari.

“Duit yang ada saya guna beli buku, baju dan kelengkapan diri. Yuran sekolah juga saya bayar sendiri dengan duit ini dan ada juga minta bantuan guru untuk tolong jelaskan.

“Untuk jimat belanja, saya goreng lebihan makanan di kedai dan simpan untuk dibawa sekolah atau bawa bekal sekeping coklat sementara air paip dijadikan minuman,” katanya.

Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), Adib berhijrah semula ke KL seorang diri dan ada cerita menarik yang disimpan rapi dalam kotak fikirannya selama ini.

“Saya ke KL berbekalkan RM30 saja iaitu duit gaji yang dikumpul selama 30 hari kerja di kedai makan. Saya naik bas dan sampai di Hentian Pudu Raya jam 4 pagi. Kebetulan ada operasi pihak berkuasa untuk menahan pendatang asing.

“Saya ditahan dan tak tahu hendak ke mana, jadi seorang anggota polis mengajak saya tinggal sementara di kuarters polis Dang Wangi. Ketika itu ibu bekerja di istana Brunei sebagai tukang masak.

“Selama empat bulan saya tinggal di sana tapi bukan duduk saja, saya masak, basuh dan gosok baju serta kemas rumah. Mereka baik hati, malah beri duit belanja,” katanya.

Selepas menetap lama di rumah itu, Adib berpindah ke rumah seorang rakan berbangsa Sikh di Sentul dan tinggal di situ hampir tujuh bulan.

Adib memujuk ibunya di Brunei supaya pulang ke KL dan apabila Halimah sampai ke ibu kota, mereka berdua tidur di bekas bengkel kenderaan milik bapanya. Beralaskan kertas surat khabar serta lantai dan dinding yang ada kesan cat hitam, dua beranak itu hidup di sana selama tiga tahun.

“Dalam tempoh itu, saya bekerja sebagai penjual cadar. Ibu pula membeli gerai untuk berniaga menjual nasi campur. Masa itu memang sukar, sudahlah kami ditipu apabila membeli gerai berharga RM2,700 sedangkan harga sebenarnya hanya RM1,500, malah untuk dapatkan lesen sangat sukar sehingga saya terpaksa bermalam di depan bangunan DBKL untuk berbuat demikian,” katanya.

Ketika masing-masing rancak bekerja, bengkel berkenaan diambil semula tuan tanah. Adib terpaksa menumpang tidur di rumah rakan berbangsa Cina manakala ibunya tidak mahu ikut sama, sebaliknya tidur di dalam gerai tolak terbabit.

“Ibu tidak mahu tidur di rumah rakan saya kerana berlainan bangsa dan dia sendiri buka kedai 24 jam sehari. Dia sanggup tidur di dalam gerai itu, malah untuk mandi pula dia terpaksa pergi ke hotel berdekatan dan perlu membayar RM1,” katanya.

Selama dua tahun mereka hidup dalam keadaan begitu sehingga Adib mampu menyewa rumah di Segambut. Selepas itu Adib bekerja di Pasar Borong Online iaitu syarikat yang menjual ikan melalui internet.

Tugas Adib, dia bukan saja perlu mengambil pesanan, malah membeli ikan di pasar borong Selayang, menyiang dan menghantar terus ke rumah pelanggan.

Syarikat terbabit ditutup tidak lama kemudian dan berbekalkan pengalaman yang ada, Adib membuka syarikat sendiri Imalimahome yang menjalankan kegiatan sama.

“Ketika perniagaan semakin maju, kakitangan yang saya upah pula buat hal. Bukan saja dia berhutang dengan tauke ayam sebanyak RM10,000, malah van yang saya beli daripada rakan turut dilarikan.

“Ketika itu saya tak mampu nak bayar sewa rumah, malah terpaksa meminjam daripada rakan untuk bayar hutang ayam. Ketika ini saya terpaksa kongsi mi segera bersama ibu.

“Namun Tuhan Maha Kaya. Ketika saya dilanda masalah, ada seorang rakan bisnes berbangsa Cina hubungi saya bertanya khabar dan apabila dia tahu masalah saya, terus dia bersetuju memberi bantuan RM6,000 sebagai modal untuk saya memulakan bisnes,” katanya.

Dengan wang sebanyak itu, Adib bersama ibu mengambil keputusan menjalankan khidmat katering, namun menghadapi masalah apabila ditipu serta lambat menerima bayaran daripada pelanggan.

Kerana menanggung beban hutang yang banyak, Adib menutup operasi katering dan kemudian Halimah menghasilkan buku resipi makanan tradisional Johor.

“Ibu ditemuramah seorang wartawan majalah mengenai buku resipi terbabit dan kemudian wartawan itu bertanya rahsia kecantikan ibu yang memiliki badan langsing dan cantik. Kata ibu, dia amalkan jamu turun-temurun dan wartawan itu berkata mengapa tidak dikomersialkan,” katanya.

Berikutan itu, timbul idea menjadikan amalan Halimah memakan jamu sejak usia belasan tahun lagi sebagai satu perniagaan, malah wartawan terbabit turut menulis artikel mengenai jamu warisan itu.

“Melalui tulisan itu, ramai menghubungi untuk membeli dan kami bertungkus-lumus menyediakan jamu secara paket. Kami hubungi pembaca yang menelefon dan hantar ke rumah mereka tidak kira mereka minta sepaket atau banyak mana,” katanya.

Adib berkata, nama Jamu Mak Dara yang digunakan itu diambil sempena nama panggilan neneknya di kampung yang dipanggil Mak Dara.

Sejak itu, perniagaan Jamu Mak Dara mendapat sambutan sehingga Adib kini berjaya membuka pejabat sendiri di Pusat Bandar Melawati, Hulu Klang.



Perusahaan jamu mak dara kini




BUKAN satu, tetapi ada 12 produk keluaran syarikat Jamu Mak Dara Sdn Bhd (JMDSB) sejak ia ditubuhkan dua tahun lalu. Ini bererti, kurang dua bulan, satu produk baru di pasarkan.

Keadaan itu menunjukkan bagai ada tarikan atau boleh diibaratkan seperti ‘pisang goreng panas’, sekali gus membuktikan jamu itu ada pengikut sendiri.
Mengulas lanjut, Adib berkata, penggunaan herba sepenuhnya dalam setiap produk antara faktor Jamu Mak Dara jadi pilihan.

“Kami menggunakan sepenuhnya herba bagi menjamin kualiti produk. Bagi memastikan ia menepati piawaian ditetapkan, herba ini dihantar ke kilang pemprosesan di Raub, Pahang hasil kerjasama dengan syarikat Technology Park Malaysia Biotech Sdn Bhd.

“Produk kami diproses, dibungkus dan dilabel di sini selain dipantau kualiti jamu dan paling penting mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Antara produk keluaran Jamu Mak Dara ialah set bersalin lengkap Ibu Halimah berbentuk serbuk dan kapsul, pilis, bedak sejuk, param, rempah mandi, bengkung, jamu pria serta kopi dan teh herba Al-Habsyee.

Ia dihasilkan daripada gabungan formula 32 jenis herba seperti misai kucing, ubi jaga, tongkat ali, manjakani, akar serapat, cabai pintal, cabai batik, halia padi, samba hantu, tahi angin, akar siak, jintan hitam dan cekor.

Abib berkata, setiap produk yang dihasilkan sangat dekat dengan kesihatan lelaki dan wanita, khususnya masyarakat Melayu.

“Setiap produk ada saling kaitan seperti set bersalin, param, rempah mandi dan bengkung. Jadi, kami gunakan herba yang ada untuk saling lengkap melengkapi,” katanya.

Menurutnya, meskipun baru dua tahun beroperasi, dia mempunyai misi untuk memasarkan Jamu Mak Dara ke pasaran global, terutama di Asia Barat dan Eropah.

Katanya, dua tempat itu menjadi tumpuan kerana ada pelancong dari negara terbabit sudah mencuba produknya dan menepati cita rasa mereka.

Selain itu, Abib kini dalam proses terakhir membuka sebuah spa berdekatan pejabatnya yang akan menggunakan produk Jamu Mak Dara, sekali gus menawarkan pakej atau perkhidmatan pada harga lebih rendah. 


No comments:

Post a Comment