Sunday, 30 December 2012

Gasoline Salt Water


Anda mungkin pernah terdengar tentang jurutera bernama John Kanzius, yang berjaya membangunkan bahan api alternatif dari garam. 

Kanzius menemui kaedah ini secara tidak sengaja – air garam boleh menjana tenaga dalam kuantiti yang banyak kalau dalam persekitaran yang tepat.

Inovasi Kanzius bermula apabila beliau didiognasis dengan penyakit Leukimia, pada 2003. Beliau menolak untuk menggunakan kemoterapi, sebaliknya cuba membangunkan sendiri alternatif rawatan berdasarkan pengetahuannya dalam sains gelombang. 

Dia bermula dengan mesin RFG (radio frequency generator), mesin industri yang Kanzius ubahsuainya untuk tujuan pemusnah sel kanser.

Tapi, apa kaitan sel kanser dengan bahan api?



Ketika eksperimen, seorang observer terperasan air dalam tabung uji berhampiran meruap. 

Sekiranya mesin RFG boleh membuatkan air meruap, secara teorinya ia boleh diaplikasikan untuk mengasingkan garam dari air laut. 

Ia boleh digunakan untuk desalinize air masin, dan menyelesaikan salah satu masalah dunia yang meruncing. Negara kering seperti Arab Saudi dan Singapura tentu tiada masalah untuk membayar sejumlah wang untuk teknologi pengekstrakan air bersih dari air laut ini.

Dalam eksperimen susulan, sekali lagi menemui satu side effect eksperimen yang mengejutkan . Apabila mengacukan mesin gelombang RFG kearas tabung uji berisi air masin, percikan api mula tercetus. 

Percikan api yang muncul adalah tidak normal, semua orang tahu sifat kimia air laut adalah sangat stabil. Mustahil percikan api boleh terjadi.

Kanzius memulakan sekali lagi eksperimen, kali ini dia meletakkan kertas tisu ke permukaan air. Apabila mesin RFG dipasang, cetusan api mula muncul dari permukaan air dan membakar tisu kertas sampai hangus.

Berita penemuan ini dianggap palsu, mulanya Kanzius dianggap cuba menipu komuniti saintifik. Sekumpulan ahli kimia dari Penn State Universiti tertarik dengan berita ini, kemudian mengulangi kajian dengan menggunakan method serupa, dan dakwaan Kanzius terbukti benar. 

Memang mesin gelombang RFG dan air garam boleh mencetus percikan, dan nyalaan terhasil boleh mencecah 1650’C.  

Soalnya, bagaimana air garam boleh menyala? Sebenarnya, nyalaan tadi adalah nyalaan hidrogen, terbebas dari air garam. Dalam keadaan normal, air garam berada dalam keadaan komposisi stabil antara garam (Natrium + Klorida) dan air (Hidrogen + Oksigen).

Dalam kes ni, gelombang radio dari mesin RFG Kanzius melemahkan kestabilan garam dan air. Ikatan kimia antara unsur garam dan unsur air menjadi lebih lemah disebabkan gangguan ini, dimana atom Hidrogen yang lebih reaktif mula meruap dan dibebaskan.

Proses ini menghasilkan haba. Hidrogen yang dibebaskan inilah diharapkan dapat digunakan sebagai bahan api alternatif kepada petroleum.

Tuesday, 25 December 2012

kaya sebab jual crepe durian

ADUNAN krim berwarna putih bercampur isi durian yang dibalut dengan lempeng nipis berwarna kuning itu dimakan penuh nikmat.
Rasa masam manis krim berpadu dengan isi durian yang berlemak benar-benar membangkitkan selera mereka yang menikmatinya.
Izzati Abdul Ghaffur, 24, benar-benar menikmati makanan kegemarannya yang dibeli dari sebuah kedai bakeri di Seremban, Negeri Sembilan.
"Saya sangat menggemari durian crepe. Rasanya yang lemak manis dengan isi durian yang terdapat di tengah-tengahnya benar-benar membuat saya ketagih," katanya dalam satu pertemuan.
Menurut Izzati, minatnya terhadap durian crepe berputik sebaik dia melihat gambar makanan tersebut dimuat naik oleh seorang daripada rakannya di laman sosial Facebook.
"Rakan saya bercerita tentang keenakan durian crepe yang membuatkan saya teringin untuk mencubanya," ujarnya.
Selepas mencuba makanan itu buat pertama kali, dia terus 'jatuh cinta' dengan rasanya yang unik.
"Sebagai penggemar durian, saya memang sukakan apa-apa sahaja makanan yang berasaskan durian dan durian crepe sememangnya pilihan yang tepat untuk peminat durian seperti saya," katanya yang merupakan seorang penulis blog yang gemar berkongsi cerita mengenai makanan dengan rakan-rakannya.
Ujar Izzati, kini dia pasti akan membeli makanan kegemarannya itu pada bila-bila masa dia keluar ke pusat bandar, tidak kiralah sama ada yang ditempah ataupun yang dibeli terus dari mana-mana kios makanan di pusat-pusat beli-belah.
"Jika seminggu saya tidak makan crepe durian, saya pasti akan berasa seperti tidak senang duduk kerana makanan ini benar-benar telah menjadi kegilaan saya," katanya.
Menurut sejarah kulinari, resipi crepe ditemui buat pertama kalinya di Perancis pada tahun 1390 dalam sebuah buku masakan yang bertajuk Manger 'de Paris (makanan yang berasal dari Paris).
Perkataan crepe berasal daripada bahasa Latin iaitu crispa yang bermaksud bergulung.
Tidak menang tangan
Jika di Perancis crepe disajikan sebagai hidangan utama, di Amerika pula ia dianggap sajian terlazat dan sering dihidangkan sebagai penutup hidangan..
Ia turut disajikan dalam pelbagai cara. Antaranya mengisi lapisan-lapisan ini dengan gula halus, cip coklat, krim vanila, keju, sayur-sayuran, daging atau telur.
Bagi seorang pembuat crepe durian, Zuharizam Mahamed, 30, dia tidak menang tangan menghasilkan makanan yang sedang menjadi trend di seluruh negara itu.
"Melalui promosi yang dilakukan di blog milik saya iaitu www.kedai-cupcakes.blogspot.com, saya menerima banyak tempahan crepe durian daripada orang ramai dan ini merupakan satu perkembangan yang baik terhadap perniagaan saya, " katanya yang membuat tempahan crepe durian di rumahnya di Taman Rakan, Cheras, Kajang, Selangor.
Menurut Zuharizam, dia mula belajar membuat crepe durian kira-kira tiga bulan lalu setelah melihat gambar makanan itu di dalam sebuah blog.
"Saya tertarik apabila diberitahu mengenai keunikan bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkannya.
"Sebab itulah, saya belajar membuat crepe durian meskipun pada ketika itu ia masih belum dikomersialkan lagi," ujarnya yang turut menerima tempahan membuat kek red velvet, kek pelangi, pavlova, roti, puff krim dan juga tat.
Lima jenis tepung
Proses membuat crepe durian pula bukanlah sesuatu yang mudah kerana inti dan kulitnya perlu diadun dengan betul.
"Bagi mengelakkan crepe mudah koyak, saya menggunakan lima jenis tepung. Ia juga tidak boleh terlalu tebal atau nipis," jelasnya yang mula berjinak-jinak dengan perniagaan sambilan sejak tahun 2009.
Selain itu, salah satu rahsia keenakan crepe durian Zuharizam ialah dia hanya menggunakan durian jenis Musang King sebagai inti.
"Meskipun harga durian Musang King di pasaran agak mahal, namun saya tidak kisah mengeluarkan modal yang lebih kerana saya tahu ia dapat menghasilkan rasa yang hebat," katanya yang mendapatkan bekalan durian daripada seorang peniaga di Pekan Batu Sembilan, Hulu Langat, Selangor.
Menurut Zuharizam, dia menjual empat biji crepe durian bersaiz sederhana yang dibungkus dalam bekas plastik pada harga RM10. Bagi tempahan yang kurang daripada dua bekas, Zuharizam menasihatkan pelanggan yang tinggal di sekitar Cheras supaya mengambil dari rumahnya.
Bagaimanapun, bagi tempahan yang melebihi 10 bekas plastik dan ke atas, dia akan menghantar ke lokasi pelanggan di sekitar Kuala Lumpur pada waktu makan tengah hari dan selepas waktu bekerja tanpa caj tambahan.
"Sebaik-baiknya, buatlah tempahan tiga hari sebelum bagi memudahkan proses penghantaran,"katanya 
Sementara itu, bagi pemilik gerai durian tersebut, Quah Chon Siang, 27, memperoleh bekalan durian sebanyak dua kali sehari bagi memastikan permintaan yang tinggi daripada pelanggan terhadap buah itu sentiasa dapat dipenuhi.
"Meskipun durian-durian tersebut dibawa dari Bentong, Pahang, saya sentiasa memastikan bahawa ia dapat dihantar pada sebelah tengah hari dan petang bagi mengelakkan masalah kehabisan stok.
"Saya juga tidak menyimpan durian yang tidak dibeli melebihi sehari bagi menjamin kualiti," katanya yang turut menjual buah-buahan lain seperti manggis, rambutan dan mangga.
Ditanya sama ada trend crepe durian mempengaruhi jualannya, Chon Siang mengakui bahawa jualan durian di gerai miliknya semakin hari semakin meningkat meskipun terdapat lambakan di pasaran.
"Pelanggan saya bukan sahaja terdiri daripada golongan orang persendirian yang membeli durian untuk dimakan bersama keluarga, malah para pengusaha crepe durian secara komersial dan bukan komersial," katanya yang hanya menjual durian bermutu tinggi seperti Musang King, King of Kings, duri hitam, Butter, XO dan D24.
 

kaya sebab jual kueh

Mistinah Sanduan menggunakan modal sendiri bagi membangunkan perniagaannya tanpa pinjaman daripada mana-mana pihak.


BAK kata orang di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalannya. Begitulah juga dengan Mistinah Sanduan, 57, yang mengusahakan pelbagai jenis biskut dan kerepek di rumahnya.
Segalanya bermula pada 1990 dengan berbekal wang RM250, Mistinah membeli barangan seperti ketuhar, kuali serta bahan-bahan mentah untuk membuat biskut menjelang musim perayaan.
“Daripada jumlah wang itulah segalanya berkembang menjadi seperti sekarang,” katanya semasa ditemui di premisnya di Kimpalan Kreatif Peket 100 Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor.
Mistinah yang telah lebih 20 tahun mengusahakan pelbagai produk industri asas tani seperti kerepek pisang tanduk, abu dan awak, kerepek bawang dan lima jenis biskut iaitu mama carrie, semperit, almond london, tart nanas dan biskut aiskrim dengan jenama Miscookies sempena nama Mistinah.
Beliau banyak dibantu oleh anaknya Khairul Azman Abdullah, 30, yang bertindak mengurus, merancang dan mencari bahan mentah bagi pembuatan kuih-muih dan kerepek terutama semasa musim perayaan.
Biarpun telah lebih 20 tahun mengusahakan produk industri asas tani, Mistinah masih menggunakan modal sendiri selain bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jabatan Pertanian.
“Selama ini kami tidak pernah mendapat apa-apa bantuan atau pinjaman daripada mana-mana pihak.
“Segalanya kami beli sendiri daripada keuntungan yang didapati,” katanya yang membeli sendiri ketuhar, mesin mengadun tepung, mesin menghiris pisang dan pelbagai jenis mesin bagi memudahkan tugasnya.
Bagaimanapun menjelang musim perayaan, Mistinah sedikit mengeluh kerana memerlukan modal yang banyak dan peralatan bagi menyediakan pelbagai produk untuk dipasarkan.
Buat masa ini produknya hanya dihantar ke Pasar Jawa Klang dan Pasar Borong Meru.
Ditanya mengenai sambutan yang diterima, Mistinah berkata, pelanggan memberikan maklum balas yang cukup memberangsangkan.
“Malah ada kalanya pengeluaran kerepek pisang yang boleh mencecah sehingga 300 kilogram sehari tidak dapat menampung permintaan yang semakin meningkat.
“Buat masa ini kami menghantar produk dua kali seminggu ke Pasar Jawa Klang dan Pasar Borong Meru selain ke kedai-kedai runcit berhampiran,” katanya.
Justeru menjalang musim perayaan, Mistinah menggaji 20 orang pekerja berbanding hanya lapan orang semasa hari biasa.
Ditanya mengenai harapan masa depan, Mistinah menjawab, beliau sentiasa berharap bisnes yang akan diwarisi anak-anaknya terus berkembang.
“Saya berharap satu hari nanti jenama Miscookies akan dikenali ramai bukan hanya di Klang tetapi juga di tempat lain,” katanya.
Pembaca yang berminat dengan produk Miscookies boleh menghubungi 012-6835355 atau 03-32242332.

kaya sebab jual soto sedap

ADUNAN rempah ratus yang disebatikan dengan ramuan tersendiri akhirnya menjadikan soto menu istimewa di Warong Soto Berlada.
Malah, tidak lengkap sekiranya soto tidak disajikan dengan bahan-bahan sampingan seperti isi ayam, begedil dan juga sambal cili kicap.
Sajian tradisional tersebut bukan sahaja mampu membuat anda terliur malah tidak sah sekiranya tidak mencuba barang sepinggan.
Warung terletak di Jalan AU 1A/2, Bengkel Mara, Taman Keramat, Selangor. Menurut Pengurusnya, Mohamad Ramadan, 31, resipi yang digunakan adalah resipi turun temurun.
Katanya, perniagaan tersebut pada asalnya diusahakan oleh arwah bapanya, Ahmad Safari Yunus bersama ibunya, pelakon veteran, Ruminah Sidek, yang dikenali dengan panggilan Mak Mah.
Tetapi kini ia diusahakan oleh adik-beradiknya yang lain dalam usaha mengingati usaha ibu bapa mereka itu.
"Jika hendak berbicara tentang perniagaan ini panjang ceritanya. Ia sememangnya diusahakan oleh arwah bapa dan juga ibu pada awal 70-an.
"Mereka mula berniaga di pasar-pasar malam sekitar Kuala Lumpur dan juga di gerai di Dataran Merdeka yang ketika itu terkenal dengan gerai hidangan sate dan mi Jawa.
"Kemudian ia terhenti lebih kurang lima tahun selepas arwah ayah meninggal dunia sebelum ia beroperasi semula di Jalan Enggang dan diusahakan oleh kakak dan abang," ujarnya ketika ditemui di warung sotonya, baru-baru ini.
Tambahnya, selepas beroperasi selama tiga tahun di situ, gerai tersebut telah berpindah ke lokasi hari ini.
Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, mereka mempertaruhkan menu-menu berasaskan kuah dan sup. Sememangnya kesemua masakan yang disediakan di Warong Soto Berlada boleh diberikan pujian lima bintang.
Cukup sekadar menyajikan hidangan seperti soto, mi Jawa, mi kari, laksa, nasi ayam, nasi lemak dan rojak buah. Ia sudah memadai bagi peminat-peminat hidangan berkuah seperti itu.
Jelas Ramadan lagi, keistimewaan soto, mi Jawa dan mi karinya terletak pada kuahnya.
"Kesemua kuah yang dihasilkan sememangnya resipi asli turun temurun daripada ayah cuma kami olah sedikit untuk menyedapkannya lagi.
"Bahan-bahan yang digunakan sudah pasti yang segar dan berkualiti agar para pelanggan datang lagi pada masa akan datang.
"Alhamdulillah setakat ini pelanggan-pelanggan yang datang tidak hanya yang tinggal di sekitar Lembah Klang malah boleh dikatakan dari seluruh negara termasuk pelancong-pelancong luar," katanya.
Turut menjadi tempat persinggahan bagi selebriti-selebriti tanah air, Warong Soto Berlada memberi pelbagai pilihan soto kepada pelanggan seperti soto biasa, soto special dan juga soto taukeh.
Begitu juga dengan mi Jawa di mana anda boleh memilih sama ada mahukan yang biasa ataupun yang special.
Bagi hidangan nasi lemak pula, selain dibungkus dalam daun pisang, ia juga lebih sedap sekiranya dinikmati bersama paru goreng.
Kesemua hidangan yang terdapat di warung tersebut ditawarkan pada harga serendah RM1.20 sehingga RM9.
Bukan itu sahaja, anda juga berpeluang menikmati karamel sebagai pencuci.
Tambah Ramadan, selain menerima tempahan, mereka kini dalam perancangan untuk menambah menu seperti sate dan juga pecal untuk memberikan kelebihan menu buat pelanggan.
 

kaya sebab pandai ternak ayam


Namun pengusaha terbabit Soh Ah Pin, ceria menyambut kunjungan rombongan AgroBank yang tiba dengan beberapa kenderaan.
Ah Pin, 73, anak jati Segamat terus membawa tetamu ke sekitar ladang ayam yang jumlahnya ratusan ribu ekor.
Tiada bau tidak menyenangkan kerana katanya, penggunaan mikroorganisme efektif (EM) memberi kesan yang baik untuk menyerap bau dan menghindarkan lalat.
Pesara kerajaan itu pernah bertugas sebagai kerani di Majlis Daerah Labis, Johor, selama 32 tahun sebelum menceburi bidang penternakan ayam kampung kerana melihat peluang terhidang depan mata.
‘‘Berniaga tidak semestinya untung. Ibarat hendak pergi perang. Kalau pandai (berperang) kita menanglah.
‘‘Tapi kena ada ilmu untuk jadi pandai,” ujarnya ketika ditemui di ladangnya yang terletak di Labis, Segamat Johor itu.
Sambil berkongsi pengalamannya dengan ahli rombongan, dia menunjukkan cara menghalau ayam ke reban yang menurutnya ternakan itu tahu pulang ke ‘rumah’ masing-masing.
Berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau MCE ketika itu, Ah Pin berkata, selepas bersara dia ditawarkan bantuan oleh seorang kenalan dari Perak.
Pada mulanya dia menawarkan diri untuk menternak hanya 50 ekor ayam. Tetapi rakan terbabit menasihatinya supaya memulakannya 4,000 hingga 5,000 ekor.
‘‘Saya bimbang tidak ada modal kalau hendak pelihara banyak. Teknik (menternak) tidak tahu, reban pun tidak ada,” ujarnya yang memulakan projek tersebut dengan empat buah reban sahaja.
Rakan terbabit membekalkannya 4,000 ekor ayam kampung kacuk, ubat-ubatan, makanan dan pelbagai keperluan lain dengan syarat Ah Pin menjual hasil ternakan kepadanya.
Ah Pin itu merupakan satu tuah kerana dia tidak perlu menyediakan pelaburan tinggi untuk memulakan projek pada tersebut pada 1996.
Selepas satu pusingan, dia menjual sejumlah ternakan yang boleh dipasarkan pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram dan berjaya meraih keuntungan.
Keuntungan itu digunakan untuk mengembangkan projek dengan membina lebih banyak reban.
Dia membina empat lagi reban dengan tambahan baka ayam 10,000 ekor menjadikan jumlah keseluruhan 15,000 ekor dan ketika itu jualannya mencecah RM47,000.
Tidak lama selepas itu, rakan terbabit tidak lagi membantunya dan kembali semula ke Perak, meninggalkan dia keseorangan mengurus projek berkenaan
Katanya, dia telah memiliki tiga syarikat yang mana dua daripadanya dikongsi bersama rakan dan sebuah lagi adalah syarikat keluarga.
Syarikat terbabit ialah Sam Hup Poultry Sdn. Bhd. (SHPSB), Ladang Ayam KPM Sdn. Bhd. (LAKSB) dan Sam Yong Farming Sdn. Bhd. (SYFSB).
Katanya, LAKSB yang terletak di Sungai G merupakan perniagaan keluarga manakala SHPSB dikongsi bersama rakan.
Ladang SYFSB juga terlibat dengan penternakan kambing yang baru dimulakan dan jumlahnya kini 100 ekor pelbagai baka.
Dia yang juga pengurus dan pengarah kepada syarikat terbabit berkata, keseluruhan ternakan ayam yang dimiliki mencecah 320,000 ekor ketika ini.
Ketika ini, kos pemakanan meliputi 70 peratus daripada keseluruhan kos projek tersebut. Manakala bakinya untuk ubat-ubatan, bekalan elektrik dan kos menggaji pekerja seramai 33 orang semuanya.
Katanya, sejak memulakan projek, dia telah lapan kali memperoleh pinjaman dengan Agrobank menerusi Tabung Untuk Makanan (3F) dan kali terakhir pada 2008 sebanyak RM800,000.
 
KEJAYAAN yang dicapai oleh Soh Ah Pin amat bermakna kerana ia bermula dari bawah.

kaya sebab Menjahit baju kanak-kanak

RAMAI tukang jahit tidak mahu menjahit baju kanak-kanak kerana melibatkan kerja-kerja rumit
 berbanding pakaian orang dewasa kerana memerlukan ketelitian yang lebih kerana saiznya.

PAKAIAN siap kanak-kanak, baik kemeja-T, seluar mahupun baju kurung sememangnya banyak dijual di pusat beli-belah atau kedai pakaian.
Namun, ada juga segelintir golongan ibu bapa sanggup menempah pakaian si kecil itu kerana ia lebih menepati cita rasa mereka.
Tentu sekali ibu bapa tersebut akan puas melihat baju anak mereka diperbuat daripada fabrik pilihan dan mengikut warna, corak serta potongan yang diinginkan. Ia tentu tampil eksklusif.
Begitupun, harga sepasang baju kurung kanak-kanak yang siap dijahit bukan murah seperti disangka. Sebaliknya, kos yang dibayar sama sahaja dengan harga jahitan pakaian orang dewasa.
Kebiasaannya, harga sepasang baju kurung bayi yang berusia tiga bulan hingga kanak-kanak yang berumur lima tahun dikenakan harga sebanyak RM50 hingga RM60.
Bagi seorang pembuat pakaian kanak-kanak, Jalina Jalin, 33, harga itu adalah berdasarkan kepada beberapa sebab. Paling utama, jahitan pakaian kanak-kanak memerlukan ketelitian dan kesabaran mendalam.
Ibu kepada dua anak yang mengambil tempahan baju kurung kanak-kanak melalui thejellikids.blogspot.com itu mengakui menjahit baju si kecil bukan mudah memandangkan ia melibatkan kerja-kerja rumit dan leceh.
Meskipun baru setahun menjalankan perniagaan itu, Jalina memberitahu, tugasnya sebagai tukang jahit baju kanak-kanak mempunyai cabaran tersendiri.
"Pertama adalah proses mengukur badan baju si kecil ini. Kebiasaan, mereka tidak duduk diam. Sebagai contoh, ada yang menangis kerana tidak mahu diukur malah, ada yang asyik bergerak.
"Apabila itu berlaku, agak mencabar untuk mengambil ukuran. Oleh itu, mereka ini perlu dipujuk terlebih dahulu," ujarnya yang mempunyai pola baju kurung sedia ada mengikut usia kanak-kanak.
Berbicara lanjut mengenai cabaran berkenaan, Jalina yang menjalankan perniagaan itu secara separuh masa turut berhadapan dengan masalah menjahit zip baju.
Baginya memasang zip pada baju kanak-kanak sebenarnya untuk memudahkan mereka memakai baju. Namun, ia memerlukan kesabaran yang tinggi.
"Memasang zip di bahagian belakang baju kanak-kanak terutamanya untuk bayi yang berusia tiga bulan hingga dua tahun sememangnya bukan perkara yang mudah. Saiz baju mereka yang kecil menyukarkan jahitan kerana memerlukan ketelitian.
"Selain itu, menjahit di pergelangan tangan dan bahagian ketiak juga mengambil masa yang agak lama.
"Oleh itu, dalam masa sehari saya hanya boleh menyiapkan dua helai pakaian agar dapat hasil yang kemas," jelasnya lagi.
Biarpun menjalankan perniagaan seperti itu melibatkan tugas-tugas yang mencabar, hakikatnya Jalina sentiasa peka dengan perkembangan fesyen bagi memastikan jenama The Jellikids miliknya itu terus relevan di hati pelanggan.
Ternyata beliau cukup tertarik dengan rekaan pakaian untuk kanak-kanak berbanding orang dewasa. Sebab itulah, Jalina turut mengambil tahu mengenai jenis fabrik, corak dan perkembangan fesyen yang bersesuaian dengan jenamanya.
Warna-warna garang pada fabrik dan coraknya serta jenis kain kapas yang lazim digunakan pada rekaannya membuatkan pelanggan terus berminat untuk membuat tempahan menerusi blognya.
Ditanya kenapa memilih menjahit baju kanak-kanak, Jalina memberitahu semuanya bermula apabila dia runsing memikirkan pakaian yang sesuai dipakai oleh anak keduanya yang ketika itu berusia kira-kira tiga bulan.
"Masa itu, puas saya cari baju kurung untuknya namun semua tidak menepati cita rasa dari segi pilihan material. Lantas dengan kemahiran yang pernah dipelajari melalui bengkel belajar menjahit, saya terdorong untuk cuba mereka sendiri," ujarnya.
Sejak itu, apabila menjelang musim perayaan, kedua-dua anaknya itu akan mengenakan pakaian jahitan Jalina yang akhirnya menarik minat saudara dan teman-teman terdekat. Dari situlah Jalina mula membuka blog dan menerima tempahan daripada mereka yang menyukai hasil kerjanya.
"Namun demikian, saya cuma menghasilkan pakaian kanak-kanak perempuan sahaja. Memandangkan saya ada kerja tetap, menjahit ini cuma dibuat secara sampingan," kata pegawai teknologi maklumat yang bertugas di salah sebuah syarikat swasta.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Mohamad Firdaus Mohamed Fedder, 29, dan Zarina Salleh, 29, turut berkongsi pengalaman mereka sepanjang menjahit baju kemeja T sejak empat tahun yang lalu.
Pasangan itu mengakui kerja-kerja menjahit kemeja T kanak-kanak adalah tugas yang mencabar.
Sebagai pembekal kemeja T di sekitar Lembah Klang menjelaskan menjahit baju kemeja T terutamanya di bahagian leher, pergelangan tangan dan pencantuman dua jenis warna merupakan cabaran utama dalam pembuatan kemeja T kanak-kanak.
"Disebabkan saiz baju kanak-kanak ini terlalu kecil, ia membuatkan kerja-kerja menjahit jadi sukar kerana memerlukan jahitan yang halus untuk kelihatan kemas.
"Oleh itu, langkah terbaik adalah dengan membuat pola baju kemeja T untuk memudahkan kerja-kerja jahitan selain mengelakkan masalah seperti pergelangan tangan dan pemotongan leher yang terlalu kecil mahupun besar," ujar bekas pelajar Pusat Giat Mara dari Raub, Pahang itu.
Menyambung cerita, ibu kepada dua anak itu memberitahu kemeja T yang mempunyai dua jenis warna juga sukar dijahit.
"Ia berikutan pencantuman dua jenis kain yang berwarna berbeza dan perlu dijahit dengan kemas agar tidak kelihatan jahitannya," katanya sambil memberitahu dia sanggup menimba pengalaman menjahit baju kemeja T di kilang yang terletak di Kepong.
"Alhamdulillah, meskipun baru empat tahun menjalankan peniagaan ini, orang ramai menerima hasil kerja kami dengan baik sekali gus mendorong kami untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka," katanya mereka kini tidak menang tangan untuk menerima tempahan dari pelanggan.



kaya sebab Jual beg tangan dan kasut

MEMBESAR dalam kehidupan yang serba kekurangan bersama 11 adik-beradik membuatkan Alice Yong, 61, menanam tekad untuk berubah. Dia mula berniaga secara kecil-kecilan sebagai usaha utama untuk membawa perubahan dalam kehidupan.
Menceritakan semula hidup keluarganya, anak kelahiran Sungai Siput, Perak itu memberitahu, kedua-dua ibu bapanya hanya bekerja menanam sayur di kawasan perumahan mereka.
Kehidupan keluarga mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana mereka bergantung kepada upah jualan tanaman sahaja.
Hasil yang tidak seberapa tersebut akan digunakan untuk menampung keperluan seharian anak-beranak itu. Hakikatnya, pendapatan itu nyata tidak mencukupi untuk menyara keluarga sebesar itu.
Nekad mahu mengubah nasib keluarganya, pada tahun 1967 Alice telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di sebuah kilang. Sehinggalah pada suatu hari, Alice membuat keputusan berani untuk memulakan perniagaan sendiri.
Sekitar tahun 1976, Alice membuat pinjaman bank untuk memulakan bisnes beg tangan dan kasut di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.
Dia memberitahu, pada mulanya bisnes itu beroperasi di kaki lima sahaja memandangkan dia tidak mempunyai modal besar untuk mendapatkan sebuah premis niaga.
Begitupun, dengan bersusah payah menjalankan perniagaan harian seawal pukul 10 pagi hingga 7 malam kecuali pada hari Ahad, Alice tidak pernah berputus asa menanti kedatangan para pelanggannya.
Wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu mengakui dia meletakkan sasaran untuk menjual sekurang-kurangnya tiga beg tangan pada setiap hari. Ketika itu, harga barangan yang dijualnya adalah bermula dari RM5 hingga RM60. Pada masa yang sama, Alice turut menjual kasut wanita.
Dengan harga berpatutan, perniagaan Alice semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan yang bekerja di kawasan itu.
“Dalam sehari, saya boleh memperoleh RM300 sehingga RM500. Syukur dengan pulangan itu kerana modal tersebut dilaburkan semula untuk membesarkan perniagaan,” ujarnya.
Buka butik
Selepas mengumpulkan pulangan yang diperoleh selepas lima tahun, sekitar tahun 1981 Alice berjaya membuka sebuah butik kasut yang dinamakan Princess di Jalan TAR.
Nama Princess dipilih kerana Alice mahu pelanggan wanitanya meletakkan diri mereka sebagai puteri yang anggun apabila menyarungkan jenama kasut tersebut.
Namun, Alice tidak mahu tertumpu kepada satu produk sahaja. Ibu kepada tiga orang anak lelaki itu memberitahu, dia mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan produk dengan menjual kasut, cermin mata dan aksesori lain.
Atas kegigihannya menempuh cabaran berniaga selama ini, Alice hari ini mampu tersenyum dengan hasil usahanya. Butik Princess sudah beroperasi di sembilan buah cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam.
Begitupun, seiring dengan peningkatan usianya, Alice kini menyerahkan empayar bisnesnya itu kepada anak bongsunya, Alan Lok Yet Luan, 24.
Alice percaya, biarpun Alan masih muda, anaknya itu mampu menerajui perniagaan itu dengan baik.
Ambil alih
Sebaik menamatkan pengajian di Universiti Canterbury Christchurch, Kent, England, dalam jurusan Pemasaran dan Pengurusan Jualan Runcit pada tahun 2009, Alan pulang ke tanah air.
Pada tahun yang sama, Alan terus membantu ibunya memandangkan beliau banyak menimba pengalaman di luar negara mengenai rekaan fesyen kasut yang terkini.
Tambahan pula, Alan tidak kekok membantu ibunya berniaga memandangkan ketika berumur lima tahun lagi dia sudah mula mempelajari selok-belok kerja di butik ibunya. Biarpun ketika itu tugasnya hanya membungkus kasut dan beg tangan yang dibeli pelanggan, banyak ilmu pengurusan yang diserap secara tidak langsung.
Alan yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Princess Shoe & Handbag Centre Sdn. Bhd. berazam mahu mengubah pandangan pelanggan yang berpendapat jenama tersebut hanya sesuai untuk wanita berusia.
Sambil menafikannya, Alan menegaskan bahawa seleksi kasut di Princess amat sesuai untuk wanita yang berumur antara 20 hingga 40 tahun ke atas.
“Kami menampilkan koleksi terbaharu seperti kasut tumit tinggi, kasut ballet rata dan sandal bergaya. Kami juga menawarkan rekaan yang lebih berani seperti kasut bertali dengan rona metalik dan but bertumit setinggi lima inci.
“Selain itu, Princess masih mengekalkan signatur yang sama iaitu menjual kasut wanita yang bersaiz antara sembilan hingga 13. Rata-rata produk kami sesuai untuk digayakan ke pejabat, majlis formal dan bersantai,” ujarnya ketika ditemui di butik Princess di kompleks beli-belah Ampang Park.
Dalam pada itu, tambah beliau, harga kasut yang dijual adalah dari serendah RM49.99 sehingga RM259.99, manakala harga beg dan aksesori seperti cermin mata pula dijual pada RM29.99 hingga RM300.
Alan mengakui, untuk menarik perhatian golongan wanita muda, dia sanggup meluangkan masa bersama rakan-rakan wanita ketika mereka membeli-belah kasut dan beg.
Melalui cara itu, dia dapat mengetahui cita rasa wanita dalam soal pemilihan kasut dan beg.
Bahkan, beliau juga mengikuti peredaran fesyen kasut menerusi laman-laman web dan majalah wanita. Maklumat yang diperoleh melalui sumber-sumber tersebut banyak membantu beliau untuk mempelbagaikan lagi produk Princess.
Demi memajukan lagi perniagaan ibunya itu, Alan sanggup turun padang menemui pelanggan-pelanggannya.
Setiap kali mengadakan promosi, dia sendiri akan bersemuka dengan pelanggan seolah-olah menjadi pekerja di kedai itu.
“Sekurang-kurangnya dengan langkah itu, saya dapat mengetahui pendapat-pendapat pelanggan dengan jelas. Segala kritikan dan pujian akan dijadikan panduan untuk meningkatkan lagi mutu perniagaan,” ujarnya.



Cup cake di rumah

Tahukah Anda Kebanyakan Perniagaan Cupcake Di Rumah Sangat Lumayan?

Kenapa ya? Sudah tentu.

1. Anda tidak perlu membayar sewa kedai.
2. Anda tidak perlu mengeluarkan kos untuk pemasaran.
3. Anda tidak perlu peralatan yang mahal. Gunakan sahaja apa yang ada dirumah.
4. Dengan Internet, anda boleh mendapat pelanggan yang tidak putus.
5. Setiap bulan pasti ada orang yang melangsungkan majlis perkahwinan dan pertunangan.

Ini adalah antara sebab perniagaan cupcake sangat lumayan. Dan sesiapa sahaj boleh melakukannya walaupun tanpa pengalama perniagaan.

Anda tidak perlu berkursus untuk menjadi seorang usahawan surirumah. Apa yang best, ia
langsung tidak menganggu tugasan sebagai surirumah atau kerjaya anda.

Panduan Bisnes Cupcake Dari Rumah
-----------------------------------

Puan Shida merupakan seorang usahawan surirumah. Dengan bermula secara kecil kecilan,
perniagaan beliau kini mula dikenali di sekitar
Kuala Kangsar dan seluruh Malaysia.

Beliau mendedahkan bagaimanakah untuk memulakan
bisnes Cupcake dari rumah berdasarkan pengalaman beliau.

Beliau menjana pandapatan sehingga 4 ANGKA menerusi perniagaan cupcake dari rumah ini.

Anda boleh mendapatkan CD Panduan ini menerusi

http://www.buatcupcake.com/hop.php?ref=jombuatkek

Ia boleh mempercepatkan proses pembelajaran anda.

Menerusi CD tersebut, beliau akan menunjukkan

1. Bagaimana membuat kek.
2. Bagaimana membuat krim icing.
3. Mewarna Krim.
4. Membuat dekorasi.

Dan banyak lagi. Ia memang satu panduan lengkap buat mereka yang ingin memulakan bisnes
cupcake dari rumah secara part time.

Dapatkan segera! Klik sahaja link dibawah ini.

www.buatcupcake.com

Semoga ia memberi manfaat kepada anda.

kaya sebab Jual biskut

Menurut Zurliyanti, beliau tidak mengupah pekerja kerana perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan sahaja. Perniagaan itu dijalankan di rumah.
Katanya, setiap tahun masuk sahaja minggu pertama Ramadan, beliau tidak lagi mengambil tempahan.
“Bimbang tak sempat nak siapkan. Lagipun, sebagai peniaga saya perlu ukur kemampuan sendiri sebelum mengambil tempahan,” katanya yang menetap di Subang Perdana, Subang.
Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, beliau telah menyiapkan lebih 150 kotak biskut Sanggul Mak Dara yang dijual pada harga RM35 setiap sekotak.
Rata-rata pelanggannya yang membuat tempahan terdiri daripada penduduk Kuala Lumpur, Kedah dan Johor.
“Mereka ini semuanya kenalan, saudara-mara yang terdekat dan ada juga kalangan yang hadir ketika pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 yang berlangsung pada 17 Jun lalu di pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur,”ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Demi tuntutan rezeki, Zurliyanti bangun seawal 6 pagi setiap hari untuk menyediakan bahan-bahan membuat biskut berkenaan.
Selepas solat Subuh beliau akan mula menyediakan adunan biskut seperti tepung dan telur yang akan berakhir sekitar pukul 11 malam termasuk menguli, membakar dan mengukir bentuk di atas biskut berkenan.
Dalam sehari, Zurliyanti menghabiskan sebanyak tiga paket tepung gandum, satu paket tepung jagung, gula satu kilogram (kg), kelapa kering 500 gram(g) dan satu botol minyak jagung Daisy untuk menyediakan untuk menyediakan kira-kira 250 keping biskut.
Rahsia biskut sedap
Berbekalkan berpengalaman hampir sedekad dalam pembuatan biskut dan kek, beliau mengakui rahsia biskut menjadi sedap kerana menggunakan minyak jagung Daisy.
“Selalunya untuk membuat biskut, bahan utama yang digunakan ialah marjerin atau mentega tetapi berbeza pula apabila menggunakan minyak jagung Daisy. Biskut akan cair di mulut selain gebu dan rangup.
“Sejak sedekad lalu, saya tidak pernah menggunakan minyak dalam pembuatan biskut tetapi setelah menyertai pertandingan Daisy, barulah saya mengetahui tekstur biskut menjadi lebih sedap jika menggunakan minyak Daisy,” jelasnya yang turut mempraktikkan segala tip dan petua yang ditimba bersama Chef Liza Zainol.
Selain itu, ulian tepung perlu digaul dengan teliti. Jika tidak kena gayanya, ia akan mengakibatkan ulian tersebut tidak menjadi.
Menyingkap pengalaman seminggu sebelum menyertai pertandingan Daisy, Zurliyanti mengakui berhadapan dengan tekanan setiap kali menguli tepung dengan minyak.
“Dengan menggunakan minyak, saya memang berasa tertekan kerana biskut seringkali tidak menjadi sekali gus menyebabkan beberapa dulang biskut terpaksa dibuang begitu sahaja.
“Namun, mujur saya berminat membuat biskut, jadi tidak mudah berputus asa sebaliknya melakukan beberapa kali sehingga berjaya,” katanya sambil memberitahu suaminya, Ahmad Lamhali, 39, sentiasa memberi dorongan.
Dalam pada itu, anak kepada guru masakan itu mengakui menceburi bidang pembuatan biskut mahupun kek menuntut ketelitian dan kesabaran yang tinggi.
Cabaran hias biskut
Salah satu cabaran membuat biskut ialah ketika membuat hiasan.
“Ia nampak mudah untuk melukis garisan empat segi di atas inti nanas, hakikatnya ia amat sukar kerana garisan tersebut susah untuk dibentuk supaya kelihatan sama rata,”ungkapnya.
Bagi mengelakkan perkara itu, beliau melakukan garisan secara dekat agar ia tidak mencacatkan bentuk biskutnya itu. Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapan, beliau merancang untuk membuka tapak di bazar Ramadan untuk menjual biskut-biskut ciptaannya itu.
Justeru, beliau akan mengupah beberapa pekerja untuk menghias biskut sahaja memandangkan Zurliyanti sendiri akan melakukan kerja-kerja mengadun tepung.
“Jika tiada apa-apa halangan, saya dan suami akan menjalankan perniagaan itu nanti. Ia akan mudah dengan bantuan pekerja dan boleh menerima tempahan yang banyak,” katanya yang membuka kelas membuat biskut.
Sehubungan itu, kepada yang berminat mengikuti kelas membuat biskut dan kek, boleh menghubungi Zurliyanti di talian 016-268 9094.
Sementara itu, Rosni Johari, 36, yang aktif dalam perniagaan kek sejak lima tahun lalu berjinak-jinak dengan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual muruku yang dihasilkan oleh ibunya, Fatimah Junuh, 57.
Guru mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga (ERT) di Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti, Bukti Mertajam Pulau Pinang itu menjual kuih berkenaan kepada rakan-rakan dan guru di sekolah.
“Selalunya apabila tiba musim perayaan, tempahan akan meningkat mendadak sehinggakan ibu saya terpaksa membuatnya hampir setiap hari bagi memenuhi permintaan.
“Apa yang lebih menggembirakan, muruku yang dihasilkan ibu saya ini turut mendapat permintaan daripada para pelajar Malaysia yang belajar di Amerika Syarikat," kata Rosni ketika ditemui di rumahnya di Lunas, Kedah baru-baru ini.
Menurut Rosni, muruku yang dijual pada harga RM8.50 bagi setiap 500 gram itu turut mendapat permintaan yang tinggi di Sabah dan Sarawak hasil inisiatif rakannya yang membawa maruku tersebut untuk dijual sejak beberapa tahun lalu.
Apakah keistimewaan muruku ibunya? Rosni memberitahu, ibunya menggunakan rempah ratus yang dihasilkan sendiri dalam menghasilkan kuih berkenaan.
“Dengan menggunakan rempah yang dihasilkan sendiri, muruku akan menjadi lebih sedap dan warnanya juga menjadi lebih menarik,” kata juara kategori kek pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 itu.
Walaupun muruku yang dihasilkan oleh ibunya itu masih dalam kuantiti yang sedikit, namun beliau juga ada perancangan untuk memperbesarkan perniagaan tersebut.
“Saya bercita-cita untuk memasarkan muruku tersebut ke kedai-kedai dan pasar raya di dalam negara.
“Namun, disebabkan masalah modal, kami menangguhkan hasrat tersebut dan apa yang kami mampu buat setakat ini hanyalah menghasilkan maruku berdasarkan tempahan sahaja,” katanya.

kaya sebab jual burger

 
WAN (kiri) sibuk melayan pelanggan yang datang membeli burger dan roti john di gerainya.
 Biarpun 'pejabatnya' hanyalah di tepi jalan, lelaki berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mesra disapa sebagai Wan itu mengakui bersyukur dapat menjana pendapatan demi menyara keluarganya.
SHAIPUR AZWAN ABDUL HAMID, 31, pernah berkecil hati apabila cuba mempertahankan keputusannya untuk berdikari dengan membuka gerai menjual burger dan roti john.
Masih segar dalam ingatan, dia pernah ditegur jiran, kenalan dan ahli keluarganya sendiri yang skeptikal dengan masa depan kerja tersebut. Begitupun, dia tidak pernah berjauh hati atau kecewa dengan pilihannya, lebih-lebih lagi dia kini sudah melihat pulangan hasil titik peluhnya itu.
Bapa kepada seorang anak itu percaya, pengusaha gerai yang rajin berusaha dengan jualan memberangsangkan mampu menjana pendapatan yang setaraf dengan gaji purata pekerja pejabat.
Namun, untuk mencapai objektif tersebut, banyak yang perlu Wan lalui terutamanya tentang cabaran dan selok-belok berniaga.
"Perlu ada semangat untuk berjuang. Berniaga perlu ada niat yang betul untuk berjaya dan jangan mudah berputus asa," ujar Wan ketika ditemui di gerainya di Taman Kenanga, Seksyen 17, Shah Alam.
Pada awalnya, Wan bermula sebagai pekerja di sebuah warung dengan gaji RM10 sehari. Kesanggupan bekerja pada usia semuda 17 tahun dengan gaji yang rendah bukan suatu untuk disesalkan.
Dia sebaliknya menganggap itu merupakan peluang terbaik untuk mempelajari asas perniagaan memandangkan dia sifar pengalaman.
"Ketika kawan-kawan menyambung pengajian dan mencari kerja yang lebih 'selamat', saya pula ketika itu berkawan dengan seorang abang bernama Zulmahizam dan menjual burger bersamanya," kata Wan mengimbas memori tahun 1999 ketika berjualan di Seksyen 2, Shah Alam.
Selepas dua tahun berniaga, dia dan tuan gerainya didekati seorang chef yang sedia berkongsi tip menjadikan burger lebih lazat iaitu sos yang digunakan.
"Chef itu memberi kami tip bahawa keenakan burger terletak pada kombinasi sos cili dan mayonis yang terbaik. Jadi, kami pun mencuba kombinasi pelbagai jenis sos cili dan mayonis sehingga mendapat rasa terbaik.
"Pada masa yang sama, tuan gerai menghantar saya belajar buat roti john secara sambilan selama dua minggu di sebuah gerai lain," katanya.
  Adat dalam perniagaan
Wan tidak terlepas daripada jatuh dan bangun dalam resam berniaga. Kerugian dan menanggung hutang itu lumrah. Semua itu berlaku ketika dia berhasrat membuka perniagaan sendiri.
"Saya pernah membuka restoran makanan Thai namun, ia terpaksa ditutup berikutan menanggung kerugian yang teruk," luahnya yang pernah menjual segala barangan peribadi seperti seluar jean dan kasut Timberland kesayangannya untuk memulakan perniagaan itu.
Wan tidak pernah putus asa. Berkat usaha dan kecekalan, wang RM50 pemberian abangnya dijadikan modal azimat. Dia membaiki sebuah gerai sorong yang dijumpai di tempat pembuangan barang seterusnya membeli sedikit barang mentah untuk memulakan semula perniagaan menjual burger.
"Hanya dengan empat beg roti dan dalam masa dua jam, saya berjaya mengembalikan wang RM50 kepada abang saya," ujarnya lalu meneruskan perniagaan pada hari-hari berikutnya dan menambah kuantiti jualan berikutan sambutan yang semakin bagus.
Sambil sibuk melayan pelanggan yang sudah beratur panjang menempah burger ayam, daging dan roti john, Wan memberitahu, dia sudah terbiasa dengan suasana tersebut. Jika ada tempahan secara pukal, Wan akan menggandakan operasinya.
"Kebiasaannya saya akan menjual kira-kira 150 biji burger dan 60 hingga 80 roti john. Ada hari-hari yang lebih tinggi jualan. Semuanya, memberi pulangan yang lumayan iaitu dengan untung bersih kira-kira RM200 hingga RM250 sehari," katanya yang menjalankan perniagaan dari pukul 5 petang hingga 11.30 malam.
Wan bagaimanapun taat dengan permintaan ibunya yang mengharapkan dia bekerja secara tetap. Tiga tahun lalu, dia memulakan tugas di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) manakala perniagaan gerainya diteruskan oleh isterinya, Yiska Maida Anggrani, 26.
Jika berkelapangan, Wan tetap akan menemani isterinya di gerai untuk membantu apa yang patut. Kini, mereka memiliki dua buah kereta dan dua buah motosikal hasil rezeki berniaga di tepi jalan itu.
"Persepsi orang bahawa menjual burger tepi jalan tidak akan membawa saya ke mana-mana adalah sama sekali tidak benar. Jika seseorang itu rajin, mempunyai semangat berniaga dan mahu terus maju, rezeki boleh diraih di mana-manapun," katanya yang tidak pernah lupa jasa gerai itu dalam hidupnya.

Monday, 24 December 2012

terbit buku sendiri

Ramai penulis yang pernah menerbit buku dengan penerbit, selepas tempoh tertentu berhasrat menerbit sendiri bukunya. Mereka menyangka jika mereka terbit sendiri, tentulah imbuhan wang yang bakal diperolehi lebih banyak.
Namun ada juga penulis tertanya-tanya bagaimana hendak terbit sendiri? Ada juga yang masih tidak tahu dan jelas dengan maksud terbit sendiri.
Terbit sendiri bermaksud proses menukar bahan bertulis yang anda miliki ke bentuk buku bercetak. Kemudian anda memasar, menjual dan mengedar sendiri kepada kedai buku, pengedar dan pengguna akhir iaitu pembaca. Dengan kata lain anda memiliki kuasa penuh dalam proses penerbitan buku anda. Anda yang membuat keputusan dan anda jugalah yang menanggung risikonya.


Penulis bestseller menerbitkan buku sendiri
Tahukah saudara, Di Malaysia sudah ramai penulis yang menerbit sendiri buku mereka. Antaranya Azizi Ali, Norhayati Berahim, Dato’ A Samad Said, dan ramai lagi. Ramai juga yang menerbit sendiri buku terdiri di kalangan pensyarah universiti dan kolej khusus untuk para pelajar mereka. Sebahagian sudah mencapai tahap bestseller, kini anda juga dapat memenuhi impian menerbitkan buku sendiri!
Dapatkan keuntungan dari buku sendiri sehingga 80 peratus!
Anda tidak perlu lagi mengharapkan royalti 10-20 peratus yang ditawarkan oleh penerbit. Dengan terbit sendiri dan mengedar sendiri buku anda, anda dapat nikmati royalti sehingga 80 peratus.
Menerbit sendiri buku bukanlah asing terutamanya di negara-negara barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ramai penulis-penulis terkenal dengan buku-buku Best-seller mereka sebenarnya bukanlah diterbit oleh penerbit terkenal. Tetapi mereka menerbit sendiri dengan belanja dari poket sendiri.
Memerlukan modal yang rendah bagi menerbitkan buku pertama anda!
Kos bagi menerbit sendiri buku anda juga tidaklah semahal seperti dahulu. Anda juga boleh buat duit dengan mengedar dan menjual sendiri buku yang diterbitkan dengan bantuan internet.
Terbit sendiri mula bertapak dan berkembang apabila teknologi baru percetakan dikenali sebagai percetakan digital dan desktop publishing diperkenalkan. Sekarang, sebalik perlu cetak beribu-ribu naskhah bagi setiap judul yang terbit, anda boleh cetak minimum senaskhah sahaja dalam satu-satu masa.

maksud terbit sendiri

Ramai penulis yang pernah menerbit buku dengan penerbit, selepas tempoh tertentu berhasrat menerbit sendiri bukunya. Mereka menyangka jika mereka terbit sendiri, tentulah imbuhan wang yang bakal diperolehi lebih banyak.
Tidak kurang juga individu yang baru berjinak-jinak dengan dunia penulisan awal-awal lagi sudah menanam cita-cita ingin menerbit sendiri buku mereka. Hasrat itu timbul mungkin apabila mereka mendengar mengenai kelebihan terbit sendiri yang diceritakan oleh sesetengah pihak.
Namun apabila tiba masa hendak menerbitkan buku yang sudah siap ditulis, mereka tertanya-tanya dengan diri sendiri bagaimana hendak lakukannya? Ada juga yang masih tidak tahu dan jelas dengan maksud terbit sendiri.
Terbit sendiri bermaksud proses menukar bahan bertulis yang anda miliki ke dalam bentuk buku bercetak ataupun e-book. Bahan bertulis itu sama ada anda sendiri yang tulis ataupun anda mengupah orang lain menulis bagi pihak anda.
Kemudian anda memasar, menjual dan mengedar sendiri buku yang diterbitkan kepada kedai buku, pengedar dan pengguna akhir iaitu pembaca.
Dengan kata lain anda memiliki kuasa penuh dalam proses penerbitan buku anda. Anda yang membuat keputusan dan anda jugalah yang memikul risikonya.
Terbit sendiri berbeza dengan terbit secara tradisional melalui penerbit buku. Anda menulis dan menyiapkan manuskrip kemudian menghantar manuskrip itu kepada penerbit bagi dinilai.
Apabila penerbit setuju menerbit manuskrip anda, proses seterusnya diuruskan oleh penerbit. Ini termasuklah membuat rekabentuk kulit dan halaman, mencetak, memasar, menjual dan mengedar. Anda hanya menunggu bayaran royalti daripada penerbit selepas tempoh tertentu.
Dengan kata lain, segala urusan penerbitan dikawal sepenuhnya oleh penerbit. Anda tidak boleh campur tangan dalam proses penerbitan kecuali dibenarkan oleh penerbit.
Sekilas pandang maksud terbit sendiri di atas, ada penulis tertanya-tanya, adakah mereka perlu buat semua proses di atas. Bagaimana jika mereka tidak pandai membuat rekabentuk halaman.
Bagaimana jika mereka tidak tahu menjual? Seperti yang disebut di atas, terbit sendiri bermaksud anda mengawal sepenuhnya proses terbit buku anda. Jika anda tidak tahu buat sendiri rekabentuk halaman, anda boleh upah artis grafik sambilan ataupun sepenuh masa.
Begitu juga urusan mencetak, anda sendiri mencari dan memilih pencetak yang sesuai. Bagi urusan menjual dan mengedar, anda boleh melantik pengedar buku bagi mengedar dan menjual buku anda.
Bagi memudahkan lagi anda memahami terbit sendiri, hakikatnya apabila anda terbit sendiri, bermakna anda memain-kan peranan sebagai penerbit buku. Bezanya ialah, anda menerbit buku anda sendiri. Tetapi penerbit buku kebanyakannya menerbit buku orang lain.
Secara teknikalnya, jika anda menerbit sendiri buku, nama penerbit yang terletak pada halaman hak cipta mestilah nama penerbit yang dicipta oleh anda sendiri. Nombor ISBN buku anda pula didaftarkan atas nama penerbit yang anda cipta itu.