Mistinah Sanduan menggunakan modal sendiri bagi membangunkan perniagaannya tanpa pinjaman daripada mana-mana pihak.
BAK kata orang di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalannya. Begitulah juga dengan Mistinah Sanduan, 57, yang mengusahakan pelbagai jenis biskut dan kerepek di rumahnya.
Segalanya bermula pada 1990 dengan berbekal wang RM250, Mistinah membeli barangan seperti ketuhar, kuali serta bahan-bahan mentah untuk membuat biskut menjelang musim perayaan.
“Daripada jumlah wang itulah segalanya berkembang menjadi seperti sekarang,” katanya semasa ditemui di premisnya di Kimpalan Kreatif Peket 100 Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor.
Mistinah yang telah lebih 20 tahun mengusahakan pelbagai produk industri asas tani seperti kerepek pisang tanduk, abu dan awak, kerepek bawang dan lima jenis biskut iaitu mama carrie, semperit, almond london, tart nanas dan biskut aiskrim dengan jenama Miscookies sempena nama Mistinah.
Beliau banyak dibantu oleh anaknya Khairul Azman Abdullah, 30, yang bertindak mengurus, merancang dan mencari bahan mentah bagi pembuatan kuih-muih dan kerepek terutama semasa musim perayaan.
Biarpun telah lebih 20 tahun mengusahakan produk industri asas tani, Mistinah masih menggunakan modal sendiri selain bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jabatan Pertanian.
“Selama ini kami tidak pernah mendapat apa-apa bantuan atau pinjaman daripada mana-mana pihak.
“Segalanya kami beli sendiri daripada keuntungan yang didapati,” katanya yang membeli sendiri ketuhar, mesin mengadun tepung, mesin menghiris pisang dan pelbagai jenis mesin bagi memudahkan tugasnya.
Bagaimanapun menjelang musim perayaan, Mistinah sedikit mengeluh kerana memerlukan modal yang banyak dan peralatan bagi menyediakan pelbagai produk untuk dipasarkan.
Buat masa ini produknya hanya dihantar ke Pasar Jawa Klang dan Pasar Borong Meru.
Ditanya mengenai sambutan yang diterima, Mistinah berkata, pelanggan memberikan maklum balas yang cukup memberangsangkan.
“Malah ada kalanya pengeluaran kerepek pisang yang boleh mencecah sehingga 300 kilogram sehari tidak dapat menampung permintaan yang semakin meningkat.
“Buat masa ini kami menghantar produk dua kali seminggu ke Pasar Jawa Klang dan Pasar Borong Meru selain ke kedai-kedai runcit berhampiran,” katanya.
Justeru menjalang musim perayaan, Mistinah menggaji 20 orang pekerja berbanding hanya lapan orang semasa hari biasa.
Ditanya mengenai harapan masa depan, Mistinah menjawab, beliau sentiasa berharap bisnes yang akan diwarisi anak-anaknya terus berkembang.
“Saya berharap satu hari nanti jenama Miscookies akan dikenali ramai bukan hanya di Klang tetapi juga di tempat lain,” katanya.
Pembaca yang berminat dengan produk Miscookies boleh menghubungi 012-6835355 atau 03-32242332.
No comments:
Post a Comment