MEMBESAR
dalam kehidupan yang serba kekurangan bersama 11 adik-beradik
membuatkan Alice Yong, 61, menanam tekad untuk berubah. Dia mula
berniaga secara kecil-kecilan sebagai usaha utama untuk membawa
perubahan dalam kehidupan.
Menceritakan
semula hidup keluarganya, anak kelahiran Sungai Siput, Perak itu
memberitahu, kedua-dua ibu bapanya hanya bekerja menanam sayur di
kawasan perumahan mereka.
Kehidupan
keluarga mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
kerana mereka bergantung kepada upah jualan tanaman sahaja.
Hasil
yang tidak seberapa tersebut akan digunakan untuk menampung keperluan
seharian anak-beranak itu. Hakikatnya, pendapatan itu nyata tidak
mencukupi untuk menyara keluarga sebesar itu.
Nekad
mahu mengubah nasib keluarganya, pada tahun 1967 Alice telah berhijrah
ke Kuala Lumpur untuk bekerja di sebuah kilang. Sehinggalah pada suatu
hari, Alice membuat keputusan berani untuk memulakan perniagaan sendiri.
Sekitar
tahun 1976, Alice membuat pinjaman bank untuk memulakan bisnes beg
tangan dan kasut di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.
Dia
memberitahu, pada mulanya bisnes itu beroperasi di kaki lima sahaja
memandangkan dia tidak mempunyai modal besar untuk mendapatkan sebuah
premis niaga.
Begitupun,
dengan bersusah payah menjalankan perniagaan harian seawal pukul 10
pagi hingga 7 malam kecuali pada hari Ahad, Alice tidak pernah berputus
asa menanti kedatangan para pelanggannya.
Wanita
yang tidak lekang dengan senyuman itu mengakui dia meletakkan sasaran
untuk menjual sekurang-kurangnya tiga beg tangan pada setiap hari.
Ketika itu, harga barangan yang dijualnya adalah bermula dari RM5 hingga
RM60. Pada masa yang sama, Alice turut menjual kasut wanita.
Dengan harga berpatutan, perniagaan Alice semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan yang bekerja di kawasan itu.
“Dalam
sehari, saya boleh memperoleh RM300 sehingga RM500. Syukur dengan
pulangan itu kerana modal tersebut dilaburkan semula untuk membesarkan
perniagaan,” ujarnya.
Buka butik
Selepas
mengumpulkan pulangan yang diperoleh selepas lima tahun, sekitar tahun
1981 Alice berjaya membuka sebuah butik kasut yang dinamakan Princess di
Jalan TAR.
Nama
Princess dipilih kerana Alice mahu pelanggan wanitanya meletakkan diri
mereka sebagai puteri yang anggun apabila menyarungkan jenama kasut
tersebut.
Namun,
Alice tidak mahu tertumpu kepada satu produk sahaja. Ibu kepada tiga
orang anak lelaki itu memberitahu, dia mengambil inisiatif untuk
mempelbagaikan produk dengan menjual kasut, cermin mata dan aksesori
lain.
Atas
kegigihannya menempuh cabaran berniaga selama ini, Alice hari ini mampu
tersenyum dengan hasil usahanya. Butik Princess sudah beroperasi di
sembilan buah cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam.
Begitupun,
seiring dengan peningkatan usianya, Alice kini menyerahkan empayar
bisnesnya itu kepada anak bongsunya, Alan Lok Yet Luan, 24.
Alice percaya, biarpun Alan masih muda, anaknya itu mampu menerajui perniagaan itu dengan baik.
Ambil alih
Sebaik
menamatkan pengajian di Universiti Canterbury Christchurch, Kent,
England, dalam jurusan Pemasaran dan Pengurusan Jualan Runcit pada tahun
2009, Alan pulang ke tanah air.
Pada
tahun yang sama, Alan terus membantu ibunya memandangkan beliau banyak
menimba pengalaman di luar negara mengenai rekaan fesyen kasut yang
terkini.
Tambahan
pula, Alan tidak kekok membantu ibunya berniaga memandangkan ketika
berumur lima tahun lagi dia sudah mula mempelajari selok-belok kerja di
butik ibunya. Biarpun ketika itu tugasnya hanya membungkus kasut dan beg
tangan yang dibeli pelanggan, banyak ilmu pengurusan yang diserap
secara tidak langsung.
Alan
yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Princess Shoe
& Handbag Centre Sdn. Bhd. berazam mahu mengubah pandangan pelanggan
yang berpendapat jenama tersebut hanya sesuai untuk wanita berusia.
Sambil
menafikannya, Alan menegaskan bahawa seleksi kasut di Princess amat
sesuai untuk wanita yang berumur antara 20 hingga 40 tahun ke atas.
“Kami
menampilkan koleksi terbaharu seperti kasut tumit tinggi, kasut ballet
rata dan sandal bergaya. Kami juga menawarkan rekaan yang lebih berani
seperti kasut bertali dengan rona metalik dan but bertumit setinggi lima
inci.
“Selain
itu, Princess masih mengekalkan signatur yang sama iaitu menjual kasut
wanita yang bersaiz antara sembilan hingga 13. Rata-rata produk kami
sesuai untuk digayakan ke pejabat, majlis formal dan bersantai,” ujarnya
ketika ditemui di butik Princess di kompleks beli-belah Ampang Park.
Dalam
pada itu, tambah beliau, harga kasut yang dijual adalah dari serendah
RM49.99 sehingga RM259.99, manakala harga beg dan aksesori seperti
cermin mata pula dijual pada RM29.99 hingga RM300.
Alan
mengakui, untuk menarik perhatian golongan wanita muda, dia sanggup
meluangkan masa bersama rakan-rakan wanita ketika mereka membeli-belah
kasut dan beg.
Melalui cara itu, dia dapat mengetahui cita rasa wanita dalam soal pemilihan kasut dan beg.
Bahkan,
beliau juga mengikuti peredaran fesyen kasut menerusi laman-laman web
dan majalah wanita. Maklumat yang diperoleh melalui sumber-sumber
tersebut banyak membantu beliau untuk mempelbagaikan lagi produk
Princess.
Demi memajukan lagi perniagaan ibunya itu, Alan sanggup turun padang menemui pelanggan-pelanggannya.
Setiap kali mengadakan promosi, dia sendiri akan bersemuka dengan pelanggan seolah-olah menjadi pekerja di kedai itu.
“Sekurang-kurangnya
dengan langkah itu, saya dapat mengetahui pendapat-pendapat pelanggan
dengan jelas. Segala kritikan dan pujian akan dijadikan panduan untuk
meningkatkan lagi mutu perniagaan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment