Ramai penulis yang pernah menerbit buku
dengan penerbit, selepas tempoh tertentu berhasrat menerbit sendiri
bukunya. Mereka menyangka jika mereka terbit sendiri, tentulah imbuhan
wang yang bakal diperolehi lebih banyak.
Tidak kurang juga individu yang baru berjinak-jinak dengan dunia
penulisan awal-awal lagi sudah menanam cita-cita ingin menerbit sendiri
buku mereka. Hasrat itu timbul mungkin apabila mereka mendengar mengenai
kelebihan terbit sendiri yang diceritakan oleh sesetengah pihak.
Namun apabila tiba masa hendak menerbitkan buku yang sudah siap ditulis,
mereka tertanya-tanya dengan diri sendiri bagaimana hendak lakukannya?
Ada juga yang masih tidak tahu dan jelas dengan maksud terbit sendiri.
Terbit sendiri bermaksud proses menukar bahan bertulis yang anda
miliki ke dalam bentuk buku bercetak ataupun e-book. Bahan bertulis itu
sama ada anda sendiri yang tulis ataupun anda mengupah orang lain
menulis bagi pihak anda.
Kemudian anda memasar, menjual dan
mengedar sendiri buku yang diterbitkan kepada kedai buku, pengedar dan
pengguna akhir iaitu pembaca.
Dengan kata lain anda memiliki kuasa
penuh dalam proses penerbitan buku anda. Anda yang membuat keputusan dan
anda jugalah yang memikul risikonya.
Terbit sendiri berbeza dengan terbit secara tradisional melalui
penerbit buku. Anda menulis dan menyiapkan manuskrip kemudian menghantar
manuskrip itu kepada penerbit bagi dinilai.
Apabila penerbit setuju menerbit
manuskrip anda, proses seterusnya diuruskan oleh penerbit. Ini
termasuklah membuat rekabentuk kulit dan halaman, mencetak, memasar,
menjual dan mengedar. Anda hanya menunggu bayaran royalti daripada
penerbit selepas tempoh tertentu.
Dengan kata lain, segala urusan
penerbitan dikawal sepenuhnya oleh penerbit. Anda tidak boleh campur
tangan dalam proses penerbitan kecuali dibenarkan oleh penerbit.
Sekilas pandang maksud terbit sendiri di atas, ada penulis
tertanya-tanya, adakah mereka perlu buat semua proses di atas. Bagaimana
jika mereka tidak pandai membuat rekabentuk halaman.
Bagaimana jika mereka tidak tahu menjual?
Seperti yang disebut di atas, terbit sendiri bermaksud anda mengawal
sepenuhnya proses terbit buku anda. Jika anda tidak tahu buat sendiri
rekabentuk halaman, anda boleh upah artis grafik sambilan ataupun
sepenuh masa.
Begitu juga urusan mencetak, anda sendiri
mencari dan memilih pencetak yang sesuai. Bagi urusan menjual dan
mengedar, anda boleh melantik pengedar buku bagi mengedar dan menjual
buku anda.
Bagi memudahkan lagi anda memahami terbit sendiri, hakikatnya apabila
anda terbit sendiri, bermakna anda memain-kan peranan sebagai penerbit
buku. Bezanya ialah, anda menerbit buku anda sendiri. Tetapi penerbit
buku kebanyakannya menerbit buku orang lain.
Secara teknikalnya, jika anda menerbit sendiri buku, nama penerbit
yang terletak pada halaman hak cipta mestilah nama penerbit yang dicipta
oleh anda sendiri. Nombor ISBN buku anda pula didaftarkan atas nama
penerbit yang anda cipta itu.
No comments:
Post a Comment