WAN (kiri) sibuk melayan pelanggan yang datang membeli burger dan roti john di gerainya.
Biarpun 'pejabatnya' hanyalah di tepi jalan, lelaki berkelulusan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) yang mesra disapa sebagai Wan itu mengakui
bersyukur dapat menjana pendapatan demi menyara keluarganya.
SHAIPUR AZWAN ABDUL HAMID, 31, pernah berkecil hati apabila cuba
mempertahankan keputusannya untuk berdikari dengan membuka gerai menjual
burger dan roti john.
Masih segar dalam ingatan, dia pernah ditegur jiran, kenalan dan ahli
keluarganya sendiri yang skeptikal dengan masa depan kerja tersebut.
Begitupun, dia tidak pernah berjauh hati atau kecewa dengan pilihannya,
lebih-lebih lagi dia kini sudah melihat pulangan hasil titik peluhnya
itu.
Bapa kepada seorang anak itu percaya, pengusaha gerai yang rajin
berusaha dengan jualan memberangsangkan mampu menjana pendapatan yang
setaraf dengan gaji purata pekerja pejabat.
Namun, untuk mencapai objektif tersebut, banyak yang perlu Wan lalui terutamanya tentang cabaran dan selok-belok berniaga.
"Perlu ada semangat untuk berjuang. Berniaga perlu ada niat yang betul
untuk berjaya dan jangan mudah berputus asa," ujar Wan ketika ditemui di
gerainya di Taman Kenanga, Seksyen 17, Shah Alam.
Pada awalnya, Wan bermula sebagai pekerja di sebuah warung dengan gaji
RM10 sehari. Kesanggupan bekerja pada usia semuda 17 tahun dengan gaji
yang rendah bukan suatu untuk disesalkan.
Dia sebaliknya menganggap itu merupakan peluang terbaik untuk mempelajari asas perniagaan memandangkan dia sifar pengalaman.
"Ketika kawan-kawan menyambung pengajian dan mencari kerja yang lebih
'selamat', saya pula ketika itu berkawan dengan seorang abang bernama
Zulmahizam dan menjual burger bersamanya," kata Wan mengimbas memori
tahun 1999 ketika berjualan di Seksyen 2, Shah Alam.
Selepas dua tahun berniaga, dia dan tuan gerainya didekati seorang chef
yang sedia berkongsi tip menjadikan burger lebih lazat iaitu sos yang
digunakan.
"Chef itu memberi kami tip bahawa keenakan burger terletak pada
kombinasi sos cili dan mayonis yang terbaik. Jadi, kami pun mencuba
kombinasi pelbagai jenis sos cili dan mayonis sehingga mendapat rasa
terbaik.
Adat dalam perniagaan
Wan tidak terlepas daripada jatuh dan
bangun dalam resam berniaga. Kerugian dan menanggung hutang itu lumrah.
Semua itu berlaku ketika dia berhasrat membuka perniagaan sendiri.
"Saya pernah membuka restoran makanan Thai namun, ia terpaksa ditutup
berikutan menanggung kerugian yang teruk," luahnya yang pernah menjual
segala barangan peribadi seperti seluar jean dan kasut Timberland
kesayangannya untuk memulakan perniagaan itu.
Wan tidak pernah putus asa. Berkat usaha dan kecekalan, wang RM50
pemberian abangnya dijadikan modal azimat. Dia membaiki sebuah gerai
sorong yang dijumpai di tempat pembuangan barang seterusnya membeli
sedikit barang mentah untuk memulakan semula perniagaan menjual burger.
"Hanya dengan empat beg roti dan dalam masa dua jam, saya berjaya
mengembalikan wang RM50 kepada abang saya," ujarnya lalu meneruskan
perniagaan pada hari-hari berikutnya dan menambah kuantiti jualan
berikutan sambutan yang semakin bagus.
Sambil sibuk melayan pelanggan yang sudah beratur panjang menempah
burger ayam, daging dan roti john, Wan memberitahu, dia sudah terbiasa
dengan suasana tersebut. Jika ada tempahan secara pukal, Wan akan
menggandakan operasinya.
"Kebiasaannya saya akan menjual kira-kira 150 biji burger dan 60 hingga
80 roti john. Ada hari-hari yang lebih tinggi jualan. Semuanya, memberi
pulangan yang lumayan iaitu dengan untung bersih kira-kira RM200 hingga
RM250 sehari," katanya yang menjalankan perniagaan dari pukul 5 petang
hingga 11.30 malam.
Wan bagaimanapun taat dengan permintaan ibunya yang mengharapkan dia
bekerja secara tetap. Tiga tahun lalu, dia memulakan tugas di Majlis
Bandaraya Shah Alam (MBSA) manakala perniagaan gerainya diteruskan oleh
isterinya, Yiska Maida Anggrani, 26.
Jika berkelapangan, Wan tetap akan menemani isterinya di gerai untuk
membantu apa yang patut. Kini, mereka memiliki dua buah kereta dan dua
buah motosikal hasil rezeki berniaga di tepi jalan itu.
"Persepsi orang bahawa menjual burger tepi jalan tidak akan membawa saya
ke mana-mana adalah sama sekali tidak benar. Jika seseorang itu rajin,
mempunyai semangat berniaga dan mahu terus maju, rezeki boleh diraih di
mana-manapun," katanya yang tidak pernah lupa jasa gerai itu dalam
hidupnya.
Terbaik tuan...
ReplyDeleteWalaupun nampak tepi jalan aje. Tapi boleh berjaya dengan berniaga burger.
ReplyDeleteTerima kasih diatas perkongsian
ReplyDelete